Kes saman fitnah Sultanah Terengganu disebut semula 27 Julai - Utusan Malaysia

Kes saman fitnah Sultanah Terengganu disebut semula 27 Julai

KES sebutan semula kes saman fitnah Sultanah Nur Zahirah terhadap Clare Rewcastle-Brown ditetapkan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Kuala Terengganu pada 27 Julai depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 27 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes saman fitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah terhadap Clare Rewcastle-Brown.

Tarikh itu ditetapkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas sebutan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Addawiah Mohd. Noorlee, hari ini.

Pengarang Sarawak Report, Rewcastle-Brown, yang berasal dari United Kingdom bagaimanapun tidak hadir ke prosiding berkenaan.

Rewcastle-Brown sebelum ini dikenakan waran tangkap oleh mahkamah ekoran kegagalan menghadirkan diri untuk dituduh berhubung kes tersebut

Wanita itu berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.

Sultanah Nur Zahirah sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku berkenaan dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.

Saman yang difailkan pada 21 November 2018 itu mendakwa kenyataan berkenaan berbaur fitnah dan bermaksud baginda terbabit dengan rasuah dan mencampuri pentadbiran kerajaan negeri Terengganu.

Kenyataan itu juga mengatakan baginda mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah turut mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menjadi penasihat TIA.

Rewcastle-Brown didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran tertuduh pada 23 September 2021.

Namun, Rewcastle-Brown kemudian membuat permohonan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, K. Muniandy menolak permohonan itu pada Rabu untuk memindahkan kes dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Muniandy memerintahkan supaya kes itu kekal dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan diteruskan memandangkan tarikh pertuduhan sudah lama iaitu 23 September 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya