936 gambar tangkap layar termasuk berunsur lucah dianalisis

Kes Ebit Lew:936 gambar tangkap layar termasuk berunsur lucah dianalisis

LATIFAH Abdul Aziz hadir sebagai saksi di Mahkamah Majistret Tenom hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Laporan analisis sebuah lagi telefon bimbit yang diperiksa dalam kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenaltau Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew mendapati terdapat gambar dipercayai berunsur lucah terkandung dalam telefon berkenaan.

Itu kandungan yang diperoleh daripada sebuah telefon berjenama Iphone yang dianalisis pada 20 Oktober 2021 oleh Juruanalisis Kanan Siasatan Audio Video PDRM, Asisten Superitendan Latifah Abdul Aziz.

Latifah yang juga saksi ketujuh kes itu berkata, hasil analisis yang dijalankan, sebanyak lapan gambar berkaitan dengan permohonan pegawai penyiasat iaitu bagi mengeluarkan data/maklumat/perbualan/
apa-apa berkaitan unsur seksual.

Hasil analisis daripada telefon itu kemudiannya disalin ke dalam sebuah cakera padat (CD) untuk diserahkan semula kepada Pegawai Penyiasat, Superitendan Noor Asyikin Shamsuri. Laporan berkaitan hasil analisis itu juga disiapkan pada hari yang sama.

Latifah berkata, telefon bimbit serta laporan analisis itu kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat yang datang mengambil barang kes itu di Makmal Forensik PDRM pada 26 Oktober 2021.

“Pemerhatian yang dijalankan terhadap hasil analisis mendapati ada gambar dipercayai berunsur lucah terkandung dalam telefon berkenaan. Terdapat lapan imej terkandung dalam CD tersebut,” katanya semasa memberi keterangan di Mahkamah Majistret hari ini.

Berdasarkan gambar yang dianalisis, kesemua lapan gambar dipercayai berunsur lucah atau seksual itu didapati daripada aplikasi Whatsapp yang dikongsi menerusi kumpulan Whatsapp dari telefon bimbit bertanda H6 iaitu telefon berjenama Iphone.

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria mengenai imej atau gambar yang diubahsuai atau dikacau ganggu, saksi ketujuh itu memberitahu mahkamah daripada lapan gambar dianalisis, satu gambar iaitu gambar kelapan telah ditambah pelekat (sticker) di bahagian atas gambar manakala, gambar lain tidak diubah suai.

Pada perbicaraan sebelah pagi tadi, Latifah memberitahu mahkamah bahawa dalam telefon yang dianalisis sebelum ini yang bertanda N1, sebanyak 936 gambar tangkap layar telah diperoleh.

Daripada jumlah itu, sebanyak 146 gambar tangkap layar dipercayai berunsur lucah turut dikeluarkan daripada telefon bimbit berjenama Samsung tersebut.

Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Zahida Zakaria manakala, Ebit diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak.- utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya