KUALA LUMPUR: Kecemerlangan akademik dan pendidikan mungkin tidak lagi menjadi fokus keutamaan golongan belia seaandainya mereka tidak mengubah cara berfikir tentang sasaran ekonomi dan bidang pekerjaan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahli Majlis Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Aswanuddin Hariffudin berkata, generasi Z khususnya dikhuatiri cenderung berfikir dan memilih pekerjaan bebas sebagai kerjaya sekali gus mengenepikan kepentingan akademik dalam profil.
“Ekonomi pekerjaan bebas dikhuatiri sedang mengubah cara gen Z berfikir. Zaman berubah selari kehendak peredaran masa dan manusia, terutama era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
“Pelbagai jenis pekerjaan baharu diwujudkan untuk membantu manusia selari perubahan pantas. Forum Ekonomi Dunia (WEF) misalnya, menganggarkan 65 peratus kanak-kanak mendaftar masuk pendidikan rendah hari ini akhirnya akan bekerja dalam pekerjaan yang belum pernah diciptakan.
“Malah, kaji selidik yang dilaksanakan oleh INTI International University & Colleges juga mendapati, 68 peratus daripada golongan gen Z di Malaysia memilih untuk menceburi sektor pekerjaan bebas apabila membuat pilihan kerjaya.
“Perkara ini dibimbangi akan menjadi trend apalagi pada Mei lalu, Malaysia juga digemparkan dengan laporan Menteri Pendidikan, hampir 50 peratus (180,680 pelajar) lepasan SPM 2021 tidak berminat untuk menyambungkan pengajian mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau yang juga bekas Presiden Majlis Belia Negeri Perak mengulas mengenai trend era kini iaitu keutusan akademik cemerlang bukan lagi satu jaminan negara dapat melahirkan ramai golongan cerdik pandai. Ini berikutan ramai golongan muda dilihat lebih tertarik untuk meneroka dunia media sosial dengan menjadi profesion pempengaruh yang disifatkan lebih mendatangkan ‘duit mudah’. –utusan