Kereta pengedar dadah terbabas ke tali air

Kereta pengedar dadah terbabas ke tali air

ANGGOTA polis terpaksa terjun ke tali air bagi membawa keluar suspek setelah kereta dipandunya terbabas di Kampung Alor Besar, Pendang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Kedegilan seorang lelaki mematuhi arahan polis agar memberhentikan kenderaan untuk diperiksa membawa padah apabila kereta dipandunya terjunam ke tali air di Kampung Alor Besar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superitenden Arriz Sham Hamezah berkata, kejadian turut menyebabkan sepasukan anggota polis terjun ke tali air berkenaan bagi membantu mengeluarkan suspek daripada keretanya.

Katanya, kelibat suspek mula dikesan kira-kira pukul 6.30 petang di tepi jalan Kampung Batu Menunggul ketika anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang menjalankan tugas Op Tapis Khas Kontinjen Kedah 2.0.

“Suspek dilihat memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan. Susulan itu, sepasukan polis menghampiri kenderaan tersebut sebelum pemandunya bertindak memecut ke arah jalan besar menuju Kobah.

“Tanpa berlengah, anggota polis berkenaan mengejar kenderaan tersebut hingga memasuki kawasan mini tar di Kampung Alor Besar. Setibanya di simpang tiga mini tar tersebut, kereta suspek hilang kawalan lalu terbabas dan menjunam ke tali air di situ,” katanya.

Tambahnya, pemeriksaan dilakukan terhadap suspek yang berusia 30-an tidak menemukan sebarang barangan menyalahi undang-undang dan dia juga tidak mengalami kecederaan.

“Suspek kemudian dibawa ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut, semakan mendapati suspek merupakan seorang pengedar dadah yang aktif di Pendang dengan gelaran nama ‘Diuh’,” katanya.

Justeru itu, dia ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya