KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor didesak tidak mengganggu lebih 500 peneroka tanah pertanian dari lima buah kampung di mukim Bestari Jaya di sini yang berdepan isu pengambilan tanah di kawasan itu.
Gesaan itu berikutan mereka mendakwa kira-kira 120 daripada 1,719 hektar tanah yang ditanam kelapa sawit sejak 40 tahun lalu sudah ditebang oleh syarikat pelombong sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.
Wakil peneroka, Mohd. Fadzil Ibrahim, 70, berkata, kawasan itu diterokai penduduk setempat sejak era 80-an dan menjadi sumber pendapatan utama pendapatan golongan miskin selama tiga generasi.
“Kami selama ini bergantung sepenuhnya kepada sumber pertanian dan ternakan namun hak itu seolah-olah dinafikan selepas lebih 50 tahun lalu.
“Justeru kami mendesak kerajaan negeri tidak berterusan mengganggu peneroka sekali gus menabur pasir dan menutup periuk nasi peneroka,” katanya selepas program Dialog Bantahan Pengambilan Tanah di Kampung Seri Makmur di sini semalam.
Program disertai lebih 200 peneroka itu turut dihadiri bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang menegaskan Kerajaan Perpaduan sepatutnya mengutamakan pembelaan rakyat.
Semalam akhbar ini melaporkan lebih 500 peneroka yang mengusahakan sektor pertanian atas tapak seluas kira-kira 1,719 hektar di daerah ini gusar kehilangan sumber pendapatan selepas tanah itu diambil semula kerajaan negeri. – UTUSAN