Kerajaan Pulau Pinang berfungsi sebagai kerajaan sementara bermula esok - Utusan Malaysia

Kerajaan Pulau Pinang berfungsi sebagai kerajaan sementara bermula esok

CHOW Kon Yeow beramah-mesra dengan penjawat awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas berucap pada majlis sempena pembubaran DUN Pulau Pinang di George Town, hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan berfungsi sebagai kerajaan sementara atau ‘caretaker government’ bermula esok selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga telah menerima taklimat daripada Bahagian DUN berhubung peranan kerajaan sementara itu.

”Esok, Ketua Menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri akan memulakan satu tanggungjawab sebagai kerajaan ‘caretaker’.

”Kami masih boleh menggunakan apa yang perlu untuk menjalankan tugas, petugas di pejabat Exco masih berfungsi, namun tugas petugas di pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhenti selaras dengan pembubaran DUN,” katanya dalam sidang akhbar sempena pembubaran DUN Pulau Pinang, di sini hari ini.

DUN Pulau Pinang secara rasmi akan dibubarkan esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan dalam tempoh terdekat.

Menurut Kon Yeow, memandangkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih berfungsi sebagai ‘kerajaan caretaker’, Ketua Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri boleh meneruskan kerja-kerja pentadbiran sehingga kerajaan baharu terbentuk.

”Bagi penggunaan kereta rasmi pula, penggunaannya akan terhenti sehari sebelum hari penamaan calon dan akan dibawa oleh pemandu ke depoh.

”Jadi, tidak timbul masalah (penggunaan kereta rasmi) kerana kempen belum bermula secara rasmi dan kita masih dalam keadaan transisi,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tempoh yang paling sesuai untuk PRN diadakan, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, beliau berpendapat minggu pertama dan kedua Ogos adalah tempoh paling sesuai.

”Kita tahu tempoh PRN perlu diadakan adalah tidak lebih 60 hari kerana ada negeri telah membubar DUN sejak 22 Jun lalu.

”Kalau mahu diselaras PRN tempohnya tidak boleh lebih dari 21 Ogos, jadi jangka masa minggu pertama dan kedua adalah sesuai untuk mengadakan PRN,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai saranan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang menggesa kerajaan negeri yang bakal atau sudah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berhenti daripada membuat keputusan penting atau mengumumkan sebarang projek baharu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak lagi menjadualkan mesyuarat Exco selepas DUN dibubarkan.

”Apa yang telah diputuskan serta diluluskan melalui Exco masih boleh diumumkan dalam tempoh ‘kerajaan caretaker’ kerana keputusan telah dibuat sebelum ini oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya