POKOK SENA: Kerajaan diminta memberi perhatian terhadap loji benih padi kelolaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) serta syarikat milik kerajaan (GLC) bagi membolehkan pembekalan lebih banyak benih padi pada masa akan datang.
Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar berkata, langkah itu bagi memastikan kerajaan tidak terlalu bergantung kepada pihak lain sekiranya berlaku sebarang krisis luar jangka selain memastikan benih-benih padi yang dibekalkan kepada petani mencapai kualiti ditetapkan.
“Sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keperluan benih padi dalam negara ini setiap tahun perlu disediakan GLC, LPP dan PPN. Setakat laporan diterima, benih-benih disediakan GLC termasuk Felcra Berhad tiada rekod buruk kerana sentiasa disediakan mengikut penyeliaan oleh Jabatan Pertanian.
“Di Kedah contohnya, LPP akan ada ladang sendiri bernilai kira-kira RM9 juta di Kubur Panjang seluas 350 hektar untuk melaksanakan benih padi sah. Itu bakal menjadi ladang benih yang mampu menghasilkan benih padi sah tertinggi di Kedah hingga Selangor dan benih-benih dihasilkan akan dipastikan berkualiti.
“Dalam masa sama, kita juga nak pastikan supaya pihak penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras dapat siasat dan perincikan siapa sebenarnya dalam kalangan pembekal sedia ada yang membekalkan benih tidak berkualiti,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan kepada Asnaf Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena, hari ini.
Baru-baru ini pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) mendakwa kualiti sebahagian benih padi yang dibekalkan kepada pesawah berada pada tahap mengecewakan dan langsung tidak bercambah apabila direndam dalam air.
Mereka mendakwa, isu itu bukan sesuatu yang baru namun gagal diselesaikan agensi-agensi kerajaan terlibat sejak sekian lama.
Sementara itu Mahfuz berkata, pihaknya sedang mengenal pasti jumlah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan keluarga di bawah PPK yang tidak mahu menyambung pelajaran selepas mendapat keputusan peperiksaan itu.
“Kami minta pengurusan PPK bertemu keluarga dan pelajar agar mereka dapat dipimpin tentang keperluan menyambung pelajaran. Mungkin mereka boleh menelusuri laluan kemahiran kerana bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mendapat permintaan industri.
“Sekiranya mereka tidak melanjutkan pelajaran dan terus masuk ke sektor ekonomi gig, mungkin akan berlaku lambakan dan perkara itu tidak akan membantu dalam mencapai hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dalam kalangan rakyat,” katanya. –UTUSAN