Kerajaan negeri lihat semula fasiliti sukan kanu di Perlis - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri lihat semula fasiliti sukan kanu di Perlis

MUHAMMAD AZMIR AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajan negeri akan melihat semula keperluan bagi melakukan penambahbaikan terhadap fasiliti mahu pun aspek kejurulatihan membabitkan sukan kanu di Perlis.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata, buat masa ini, pihaknya dalam proses bagi mengaturkan pertemuan bersama pengurusan Persatuan Kanu Perlis bagi membincangkan secara lanjut berhubung potensi sukan berkenaan.

Katanya, sekiranya atlet kanu berpeluang menyumbang pingat dalam beberapa acara kejohanan antaranya seperti Sukan Malaysia (Sukma), kerajaan negeri sememangnya tiada halangan bagi menyalurkan bantuan dalam pembangunan sukan berkenaan.

“Saya juga dapat maklumat awal daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) yang sukan ini memang berpotensi dan kita juga lahirkan atlet dari negeri ini yang berjaya di luar.

“Kita dalam proses untuk jumpa persatuan bagi mereka nyatakan keperluan dan kemampuan mereka,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai rintihan Persatuan Kanu Perlis yang berdepan kekangan bantuan dana dan fasiliti sehingga menyebabkan atlet-atlet mereka terpaksa berlatih dalam keadaan serba kekurangan.

Situasi yang berlaku itu juga menyebabkan persatuan berkenaan terpaksa mencari peruntukan sendiri khususnya apabila ingin menyertai sesuatu kejohanan.

Penaung Persatuan Kanu Perlis, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, sukan kanu dan kayak di Perlis perlu dibantu memandangkan mereka sebelum ini berjaya meraih kemenangan di pelbagai peringkat.

Malah, katanya kerajaan negeri juga diharap dapat meletakkan sukan kanu sebagai antara sukan teras di Perlis dalam melahirkan lebih ramai atlet pelapis masa hadapan.

Dalam pada itu, Muhammad Azmir berkata, beliau juga akan melihat semula dan mengadakan perbincangan lanjut bersama pihak berkaitan bagi meletakkan kanu sebagai antara sukan teras di negeri ini.

“Saya juga akan mendapatkan input daripada negeri Terengganu memandangkan mereka juga melakukan pelaburan besar dalam sukan kanu ini.

“Dan sekiranya bersesuaian kerajaan negeri akan memberikan sokongan dalam membantu pembangunan sukan berkenaan di Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya