Kerajaan negeri boleh mohon operasi pembenihan awan

Kerajaan negeri boleh mohon operasi pembenihan awan

OPA dilaksanakan atas permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui penyelarasan antara NADMA, MET Malaysia dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM). - GAMBAR IHSAN JPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan negeri yang memerlukan bantuan bagi menjalankan operasi pembenihan awam (OPA) boleh mengemukakan syor kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk dibuat penilaian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan mengkaji terlebih dahulu kesesuaian lokasi dan ramalan keadaan atmosfera di kawasan cadangan bagi menjamin kejayaan OPA.

Beliau berkata, pada hari ini, OPA dilaksanakan atas permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui penyelarasan antara Nadma, MET Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Operasi kali kedua ini diteruskan sehingga esok dan menyasarkan sekitar Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam di Pulau Pinang sebagai tindakan awal mengatasi penyusutan air di kedua-dua empangan itu.

“Setakat hari ini, Empangan Air Itam mencapai peratus kapasiti air sebanyak 48.6 peratus dan Empangan Teluk Bahang pula sekitar 44.4 peratus,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, bagi melaksanakan OPA ini, pesawat C-130 Hercules milik TUDM berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang membawa empat tangki mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air yang disediakan MET Malaysia.

Jelasnya lagi, kejayaan OPA bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai seperti kelembapan yang tinggi, kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin yang lemah.

Armizan berkata, operasi sama dijalankan di Pulau Pinang pada 2 hingga 4 Mei lalu dan berjaya menghasilkan 100 peratus hujan di kawasan yang disasarkan.

Menurutnya, pihaknya berharap usaha bersepadu itu boleh membantu meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan sekali gus menjamin bekalan air kepada pengguna tanpa gangguan.

MetMalaysia sebelum ini melaporkan Monsun Barat Daya (MBD) telah bermula pada 15 Mei lalu dan dijangka berlarutan sehingga September 2023.

Lazimnya ketika MBD, kurangnya pembentukan awan sekali gus taburan hujan menjadi rendah di kebanyakan kawasan menyebabkan keadaan cuaca panas
dan kering.

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) pada 16 Mei lalu memutuskan agar Nadma dan agensi berkaitan memperkasa kesiapsiagaan bagi menangani impak fenomena cuaca panas dan kering semasa MBD. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya