BALING: Kerajaan masih mencari kaedah untuk mengalakkan lebih ramai pekebun kecil getah beralih kepada penghasilan susu getah atau lateks berbanding getah sekerap yang menjadi pilihan utama mereka ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini pekebun kecil getah masih memilih untuk mengeluarkan getah sekerap yang lebih mudah untuk diusahakan berbanding lateks.
Kata beliau, penggunaan teknologi diyakini sebagai salah satu kaedah yang mampu memudahkan kerja-kerja pengumpulan susu getah yang memerlukan kualiti komoditi itu terjaga bagi menjamin harganya yang baik.
“Sekarang teknologinya ada tapi yang melaksanakan hanyalah syarikat-syarikat besar. Kalau pekebun kecil untuk guna teknologi itu mungkin tidak ada, sebab itu kita perlukan model perniagaan baharu.
“Tapi bagaimana kita nak galakkan mereka (pekebun) hasilkan susu getah, ini model perniagaan yang kita kena lihat dan ia akan hanya dapat dilaksanakan kalau kita dapat kerjasama industri bersama pekebun kecil untuk beralih kepada penghasilan susu getah,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Sembang Warung bersama pekebun getah di Kampung Charok Gorok di sini, hari ini.
Tambah beliau, kira-kira RM3 bilion setahun diperlukan untuk mengimport lateks dan aliran wang keluar itu dapat dikurangkan jika pekebun tempatan mampu mengeluarkan susu getah sendiri yang secara tidak langsung meningkatkan pendapatan mereka.
“Kalau buat perbandingan, harga getah sekerap adalah RM2.70 dan susu getah RM5. Jadi dari situ kita dapat buat perbandingan harga. Cuma kerja-kerja untuk hasilkan susu getah lebih banyak daripada getah sekerap.
“Susu getah mereka kena banyak kali pergi (ke kebun) untuk menoreh dan memungut agar getah tak beku. Selepas itu kena masukkan dalam balang untuk kualiti getah itu dijaga barulah harganya bagus.
“Jadi proses ini kita kena lihat bagaimana dapat dipermudah kepada pekebun kecil yang rata-rata mereka di usia pertengahan untuk mengurangkan proses penghasilan lateks itu dengan menggunakan teknologi,” katanya. –UTUSAN