Kempen Ambil Pekerja Lokal dilancar kurang kebergantungan pekerja asing - Utusan Malaysia

Kempen Ambil Pekerja Lokal dilancar kurang kebergantungan pekerja asing

V. SIVAKUMAR (tengah) menyaksikan peserta Karnival Kerjaya MyFutureJobs menerima tawaran pekerjaan di Butterworth Arena, Pulau Pinang hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan Kempen Ambil Pekerja Lokal bagi menggalakkan pengambilan tenaga kerja tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

Kempen terbabit adalah program susulan inisiatif Malaysianization yang dilaksanakan dari 2021 untuk menggalakkan majikan mengajikan pekerja tempatan bagi jawatan yang sebelumnya disi pekerja asing.

Untuk menggalakkan lagi penggajian pekerja tempatan, KSM dan Perkeso juga menyokong Projek Reben Kuning yang memberi ruang kepada bekas banduan terutama belia dan bekas pelajar juvana untuk memperoleh pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, majikan diseru bekerjasama dengan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan khusus buat pekerja tempatan.

“Kempen ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan majikan dapat menggajikan anak-anak watan sekali gus mengelakkan daripada terlalu bergantung kepada pekerja asing.

“Selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030, maka kita perlu perkasakan mereka bermula daripada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 Negeri Pulau Pinang di Butterworth Arena, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata, karnival kerjaya MYFutureJobs yang berlangsung selama dua hari itu menawarkan lebih 7,000 kekosongan jawatan yang menawarkan gaji bulanan sehingga RM9,500 daripada 56 majikan yang mengambil bahagian.

“Sehingga tengah hari tadi, seramai 552 individu berjaya ditawarkan jawatan ‘on the spot’.

“Selain menghimpunkan pencari kerja dan majikan di bawah satu bumbung, karnival kerjaya ini juga menyediakan perkhidmatan pekerjaan bagi meningkatkan kebolehpekerjaan dan kebolehpasaran pencari kerja antaranya bantuan penyediaan resume, profil pencari kerja dan bengkel temu duga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya