Kementerian teliti faktor calon tidak ambil SPM

Kementerian teliti faktor calon tidak ambil SPM

KERATAN laporan muka depan Mingguan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pertambahan jumlah calon yang tidak hadir menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sememangnya mendapat perhatian Kementerian Pendidikan (KPM) dengan penelitian data terhadap perkara itu sedang berjalan ketika ini. 

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penelitian data tersebut dibuat bagi membolehkan pihaknya mengenal pasti punca sebenar selain melaksanakan langkah intervensi untuk menangani isu berkenaan. 

“Saya percaya banyak faktor yang membawa kepada ketidakhadiran calon untuk menduduki peperiksaan tersebut dan KPM sedang meneliti supaya dapat kenal pasti serta membuat intervensi sewajarnya bagi memastikan kehadiran lebih baik pada tahun akan datang. 

“Saya fikir banyak faktor yang menyumbang kepada perkara itu dan sudah tentu, faktornya sangat mendesak hingga calon berkenaan tidak dapat hadir mengambil peperiksaan tersebut. 

“Jadi perkara ini memerlukan penelitian. Beri kami masa untuk teliti dan kita akan buat intervensi sewajarnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaaan (SMJK) Keat Hwa di Jalan Kuala Kedah di sini, hari ini. 

Berita muka depan Mingguan Malaysia hari ini melaporkan sejumlah 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran tidak hadir menduduki peperiksaan itu. 

Bersandarkan analisis KPM, calon yang tidak hadir peperiksaan tahun lalu bertambah berbanding SPM 2021 yang merekodkan 10,681 atau 2.7 peratus calon tidak hadir daripada keseluruhan 392,837 calon berdaftar. 


FADHLINA Sidek diiringi Pengetua SMJK Keat Hwa, Lee Kuen Chin melawat sekolah tersebut di Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah.

Ditanya sama ada pertambahan jumlah ketidak hadiran itu merupakan sesuatu yang membimbangkan buat KPM, Fadhlina berkata, segalanya bergantung kepada dapatan hasil penelitian dilakukan pihaknya itu nanti. 

“Calon SPM ini pelbagai dan mereka bukan saja berada di bawah sekolah KPM kerana ada antara individu berkenaan merupakan calon persendirian dan sebagainya. Jadi kita perlukan pecahan yang lebih teliti bagi memastikan mengapa perkara ini terjadi sebelum mengenal pasti intervensi perlu dilaksanakan,” katanya. 

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, keputusan SPM 2022 juga menyaksikan prestasi yang lebih baik berkaitan peratusan calon yang berjaya memperolehi sijil berbanding tahun-tahun sebelumnya. 

“Buat pertama kalinya, lebih 90 peratus calon berjaya memperolehi sijil SPM. Sebelum ini, jumlah mereka yang berjaya memperolehi sijil hanya kira-kira 80 peratus. Jadi selepas ini, tumpuan kami adalah meningkatkan lagi jumlah peratusan calon yang menerima sijil SPM,” katanya. 

Sementara itu kata beliau, KPM bukan saja tidak menyediakan ranking sekolah terbaik SPM 2022 malah tidak membuat perbandingan antara negeri-negeri. 

“Tiada keperluan untuk umum ranking itu sebab bukan amalan kita untuk melaksanakannya. Segala yang diterjemahkan melalui Gred Purata Sekolah (GPS) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) hanya untuk kegunaan sekolah sendiri bagi melaksanakan program yang menambah baik prestasi pelajar pada masa akan datang. 

“Tidak ada sebarang ranking. Saya perlu tegaskan kerana nampaknya sekarang ini beriya sangat orang bercerita pasal ranking sedangkan perkara itu memang tak ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya