KUALA LUMPUR: Penyanyi bertaraf legenda, Datuk Yusni Hamid, 71, menasihatkan penyanyi-penyanyi baru agar keluar zon selesa dengan membawakan pelbagai genre muzik berlainan.
Yusni yang dilahirkan di Kuala Lumpur berkata, langkah itu membolehkan seseorang penyanyi mengenali kemampuan diri selain menjadikan mereka relevan untuk jangka masa lama.
“Jangan terikat pada satu jenis lagu sahaja. Sekarang kebanyakan lagu pula terlalu simple dan seni katanya tidak mudah melekat dalam memori pendengar.
“Jadi saya sarankan kepada penyanyi sekarang cuba pelbagai jenis lagu dan kepada penulis lirik, hasilkan seni kata yang lebih kemelayuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Yusni merupakan penyanyi yang memulakan kerjayanya pada tahun 1969 dengan pembabitan sebagai penyanyi kelab malam sekitar era tersebut.
Beliau Sepanjang pembabitannya telah merakamkan enam album termasuk album duet bersama Allahyarham Tan Sri S.M. Salim iaitu jeling-jeling.
Dalam masa yang sama, penyanyi yang namanya meningkat naik menerusi lagu Aku Rindu ini turut mengingatkan kepada penyanyi muda akan agar menetapkan matlamat mereka dan tidak tenggelam dengan habuan lumayan yang ditawarkan menerusi program realiti semata-mata.
“Hari ini terlalu banyak program realiti yang melahirkan ramai penyanyi. Bagaimanapun apa yang menyedihkan ramai juga antara penyanyi-penyanyi berkenaan yang singgah sementara dalam industri sebelum menghilang dari radar dunia seni.
“Saya harap penyanyi-penyanyi baru tetapkan matlamat, jangan popular sekejap lepas itu hilang. Kalau sudah melangkah masuk ke dalam dunia seni suara, teruskan,” nasihatnya.