KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan pengarah veteran, Ahmad Ibrahim, 74, atau Mat London yang masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) semakin baik namun masih bergantung kepada alat sokongan untuk bernafas.
Perkembangan itu dikongsi pelakon yang juga bekas isterinya, Fadilah Mansor, 65, yang menziarahi Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia itu sekitar petang semalam.
“Beliau antara sedar dengan tidak namun memberikan respons dan mengangguk kepala ketika saya bercakap dengannya.
“Saya dimaklumkan keadaan paru-parunya bertambah baik cuma jantungnya masih lemah.
“Beliau masih bergantung dengan alat sokongan untuk bernafas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, pengarah veteran itu dimasukkan ke ICU HKL kerana jangkitan paru-paru sejak 16 Jun lalu.