TERKADANG malu dengan diri sendiri apabila peluang berkomunikasi dengan Allah SWT di atas sejadah hanya seminit dua. Bertahun-tahun mencari duit mengerjakan umrah tetapi hanya dua tiga patah doa yang mampu dilafaz di hadapan Kaabah.
Bukan kerana sibuk dengan rutin dunia, tapi lidah seakan kelu, idea seakan kering untuk meluahkan doa munajat kepada Ilahi.
Apa yang mampu didoakan hanya dipermudahkan urusan, dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik oleh Sang Pencipta.
Bukan bermaksud doa itu tidak bagus, tetapi adakah itu sahaja doa yang mampu dipanjatkan kepada Allah sejak dari dahulu sehingga kini?
Senario itu berlaku kepada ramai orang, tak perlu tunding jari mencari salah siapa, cukup tepuk dada sendiri dan bermuhasabah bagaimana kemampuan doa kita kepada Allah SWT.
Situasi itulah yang pernah dilalui penulis buku berjudul Tuhan Dengarlah Doaku, Nora Azmin suatu ketika dahulu.
Dirinya tercari-cari apakah doa yang perlu dipanjatkan. Terkial-kial memikirkan perkataan dan ayat untuk dilafazkan, terkumat-kamit mulut mengulang doa yang sama tiada perbezaan, walaupun dirinya penulis handalan dengan beribu idea pengiklanan.
Mungkin dari situ langkah perubahan buat Nora, yang sedar betapa pentingnya sebuah doa yang lahir daripada hati sanubari manusia tanpa dipaksa selain menjadi senjata utama bagi golongan mukmin.
Sejak itu, Nora mula mengarang skrip doa untuk dirinya dan menjadi rujukan buat kenalan rapat, sehinggalah menerbitkan buku Tuhan Dengarlah Doaku setebal 165 muka surat yang turut dibantu oleh sahabat baik beliau, Dai Izzhar Nazri yang aktif sebagai personaliti dakwah.
Tujuannya tidak lain tidak bukan, hanya untuk mencetuskan rasa seronok dalam berdoa seolah-olah sedang merintih, mengadu, melepaskan dan berbicara terus dengan Maha Pencipta.
Oleh itu, pembaca dapat membuat rujukan skrip doa yang lebih mendalam dan spontan selain memberi idea olahan doa yang dekat di hati. – UTUSAN ONLINE