KUALA LUMPUR: Bagi menghormati tuan rumah, kugiran Indonesia Kangen Band berhasrat membuka konsert skala besar mereka di Malaysia dengan nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku.
Kumpulan yang dianggotai Andika (Vokal), Dodhy (gitar), Tama (gitar), Bebe (bass) dan Izzy (keyboard) itu bakal menjayakan Live In Kuala Lumpur Kangen Band: Kangen Pada Kenangan di Zepp Kuala Lumpur pada 2 September akan datang.
“Kami bertanya juga kepada penganjur, boleh tak sekiranya kami mahu membuka konsert dengan nyanyian yang semestinya boleh dinyanyikan banyak orang iaitu Negaraku.
“Jika boleh kami mahu semua pengunjung berdiri dan menyanyikan lagu itu bersama-sama,” kata Dodhy semasa majlis sidang media konsert Live In Kuala Lumpur Kangen Band: Kangen Pada Kenangan baru-baru ini.
Sudah lama tidak menjejakkan kaki ke Malaysia, kumpulan itu mengakui jemputan mengadakan konsert seperti ini merupakan satu penghormatan apalagi tiket konsert berkenaan sudah pun terjual sehingga 50 peratus.
“Untuk tampil di Malaysia sahaja sudah pun menjadi satu hal yang membanggakan buat kami. Seronok rasanya boleh menatap wajah orang Malaysia.
“Satu kehormatan boleh berada di panggung seperti Zepp apalagi kami sudah lama sekali sudah tidak beraksi di Kuala Lumpur,” tambahnya lagi.
“Oleh itu semasa konsert kami akan membawakan lagu-lagu yang dekat dengan selera peminat Malaysia di samping mengetengahkan juga lagu-lagu baru kami.
“Bukan tidak mahu membawakan lagu Malaysia. Namun kami khuatir akan mempunyai sedikit masalah tentang pembayaran royalti dan sebagainya seperti di Indonesia,” jelas Dodhy yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu untuk artis Malaysia seperti Eira Syazira.
Antara lagu popular yang bakal dinyanyikan Kangen Band adalah Terbang Bersamaku, Takkan Terganti, Kembali Pulang, Tentang Aku Kau Dan Dia dan banyak lagi.
Peminat juga bakal dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi jemputan iaitu Andra Bagindas dari Indonesia.
Tiket untuk menyaksikan Konsert Live In Kuala Lumpur Kangen Band: Kangen Pada Kenangan dijual pada harga RM4800 (VIP Box); RM355 (Diamond); RM305 (Platinum); dan RM255 (Gold). Pembelian awal atau ‘early bird’ pula RM200 bermula 15 hingga 30 Jun ini.