KUALA LANGAT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut akibat lemas ketika mandi di kolam sebuah taman tema di Banting di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 11.38 pagi.
Katanya, sepasukan enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dikerah dalam operasi tersebut.
“Kejadian itu dipercayai berlaku ketika mangsa sedang mandi bersama ahli keluarganya di kedalaman kira-kira dua meter.
“Pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu tidak sedarkan diri dan sudah dikeluarkan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamadul Ehsan, mangsa dibawa pasukan perubatan ke Hospital Banting bagi tindakan lanjut, bagaimanapun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di sana. – UTUSAN