'Kalau flip-flop dapat bantu rakyat, saya akan flip-flop' - Anwar 

‘Kalau keputusan flip-flop dapat bantu rakyat, saya akan flip-flop’ – Anwar 

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak kisah mengambil langkah ‘flip-flop’ atau tunggang-terbalik seperti dianggap pembangkang sekiranya ia dapat membantu meringankan beban rakyat. 

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan kerajaan meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur serta biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diumum baru-baru ini bukan tunggang-terbalik, sebaliknya adalah dasar baharu di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Keputusan JPA (menghentikan biasiswa) ini keputusan lama. Ada rekod. Saya hadir mesyuarat JPA, memang ada keputusan lama untuk mengkaji semula dan menghentikan (biasiswa).

“Yang diumumkan itu keputusan lama. Apabila saya mempengerusi mesyuarat JPA, keputusannya saya buat ialah sambung biasiswa. Begitu juga tentang ayam dan telur. Keputusan subsidi habis Jun, itu keputusan lama dan kementerian hanya umumkan keputusan (lama). 

“Selepas merujuk kepada Menteri kewangan dan Perdana Menteri, saya kata sambung subsidi. Pengumuman ini bukan flip-flop. Keputusan lama diumum ikut prosesnya tetapi apabila dimaklum kepada saya dan diteliti balik, ini akan membebankan rakyat, raya haji dekat. Kita tolonglah rakyat.

“Kalau pun flip-flop, untuk bantu rakyat saya akan flip-flop. Buat apa tidak mahu flip-flop tapi bebankan rakyat,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Isu flip-flop timbul apabila Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi [PN-Tanjong Karang] meminta Perdana Menteri menjelaskan keputusan kerajaan yang bertukar-tukar, antaranya isu pemberian subsidi ayam dan telur serta biasiswa JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Kenyataan sebelum itu mengatakan subsidi ayam dan telur akan berakhir pada 30 Jun serta biasiswa JPA bagi bidang perubatan, pergigian dan farmasi dihentikan, adalah berdasarkan keputusan lama yang dibuat ketika pentadbiran lalu.

Dalam, jawapan bertulis di Dewan Rakyat, minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, JPA menghentikan tajaan kepada pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan permintaan terhadap tenaga kerja dalam bidang itu sudah mencukupi. 

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya sedang berbincang dengan JPA berhubung keputusan menghentikan penajaan itu dan sedia mengkaji semula kajian dilakukan pada 2019 yang mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai 2026 hingga 2030.

Anwar pada Ahad lalu kemudian memberi jaminan JPA akan meneruskan pemberian biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pengajian dalam berkenaan dan keputusan menghentikan tajaan di bawah JPA adalah dasar kerajaan terdahulu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya