ALOR SETAR: Seorang pembantu laut didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini setelah dia mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan menerima suapan bernilai RM2,100 antara Disember 2018 hingga pertengahan 2019.
Tertuduh, Suhaimi Ahmad, 44, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di depan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu. Suhaimi kemudiannya membayar denda terbabit.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Pejabat Perikanan Negeri Perlis didakwa menerima wang berjumlah RM200 dengan tiada balasan daripada seorang lelaki berusia 57 tahun melalui seorang individu berumur 45 tahun pada 2 Disember 2018.
Bagi pertuduhan kedua hingga kesembilan pula, Suhaimi didakwa menerima wang dalam jumlah sama untuk setiap pertuduhan dengan tiada balasan daripada seorang individu berusia 58 tahun antara 21 Disember 2018 hingga 17 Jun 2019.
Untuk pertuduhan ke-10, lelaki itu didakwa menerima wang berjumlah RM300 juga dengan tiada balasan pada 26 Jun 2019. Kesemua kesalahan itu dilakukan di Malayan Banking Berhad, Kompleks Central Square, Sungai Petani, dekat sini.
Tertuduh didakwa mengetahui bahawa kedua-dua individu yang memberi wang kepadanya itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya selaku pembantu laut di Pejabat Perikanan Perlis.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua individu berkenaan merupakan pemilik bot yang beroperasi di Kuala Kedah.
Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atiqah Mohamad Alias mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh memohon agar dikenakan hukuman minimum kerana masih perlu menanggung lima anak manakala isterinya pula tidak bekerja. Dia juga dalam masa sama berjanji tidak akan melakukan kesilapan sama pada masa depan. –UTUSAN