Jurujual mengaku tidak bersalah curi rantai budak di Jom Heboh - Utusan Malaysia

Jurujual mengaku tidak bersalah curi rantai budak di Jom Heboh

Rantai Jom Heboh
NOR Zannah Andi Baso dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mencuri rantai leher kanak-kanak perempuan di tapak Karnival Jom Heboh, Stadium Shah Alam , Sabtu lalu.

Tertuduh, Nor Zannah Andi Baso, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Mengikut pertuduhan, ibu beranak satu itu bersama seorang yang masih bebas didakwa mencuri seutas rantai emas milik anak saudara seorang wanita berusia 26 tahun yang dilakukan di tapak Karnival Jom Heboh, Stadium Shah Alam, Seksyen 13, kira-kira pukul 5.39 petang.

Pendakwaan kes dijalankan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zafirah Syed Mustapa menawarkan kos ikat jamin tertuduh berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan bagi serahan dokumen kes.

Peguam Oon Guo Chen yang mewakili Nor Zannah bagaimanapun memohon pengurangan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan seorang bayi perempuan berusia tiga bulan.

“OKT (tertuduh) baru saja bersalin dan risiko untuk dia melarikan diri adalah rendah. Kos ikat jamin bertujuan memastikan kehadiran OKT ke mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.

Nur Faizah membenarkan kos ikat jamin RM3,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Ogos depan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang wanita diberkas hasil rakaman video tular pengunjung yang menyedari kejadian rantai leher kanak-kanak itu dipercayai dipotong dengan sesuatu objek sebelum ditarik serta dicuri.

Suspek kemudian ditahan di sekitar lokasi sama dan turut didapati mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kes kecurian. Video kejadian tular itu dikatakan sempat dirakam secara tidak sengaja oleh ibu saudara mangsa dan mendapat lebih 1.4 juta tontonan di TikTok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya