Jumlah taska tidak berdaftar membimbangkan

Jumlah taska tidak berdaftar membimbangkan

NANCY Shukri beramah mesra bersama pengasuh taska selepas Konvensyen Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Berdaftar (PPBM) di KPWKM di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah taman asuhan kanak-kanak (taska) yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negara ini adalah membimbangkan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurut beliau, sebanyak 1,080 taska yang tidak berdaftar dikesan setakat penghujung Disember tahun lalu, manakala taska yang berdaftar dengan JKM sehingga April lalu berjumlah 3,005.

“Itu (jumlah tidak berdaftar) yang dalam pengetahun kementerian dan (jumlah itu) memang membimbangkan kerana apabila berlaku sesuatu sukar untuk tindakan diambil.

“Untuk kelulusan pendaftaran taska cuma perlukan 30 hari tetapi sebelum ia didaftarkan, pengusaha perlu menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Syarat inilah yang menjadi cabaran kepada pengusaha taska untuk mendaftar (premis mereka),” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan 2023 di sini hari ini.

Pada masa sama, Nancy turut menyarankan kepada operator atau pengusaha taska yang belum berdaftar supaya berbuat demikian bagi memudahkan JKM menjalankan pemantauan.

Ini kerana katanya, taska yang berdaftar akan mempunyai ilmu pendidikan awal kanak-kanak dan disiplin pengasuhan serta pengetahuan mengenai perundangan, dasar, maklumat dan amalan terbaik.

“Saya sering mendapat rungutan daripada pengusaha yang mahu beroperasi secara sah dan berdaftar tetapi menghadapi karenah birokrasi membabitkan isu teknikal di pihak PBT.

“Kita tahu ini adalah kuasa PBT tetapi saya rasa ini boleh ditambah baik sebagai contoh sekiranya semua PBT mempunyai budi bicara dan peraturan yang selaras.

“Saya juga akan bawa dan bincang isu ini dengan Menteri KPKT (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan) untuk memudah cara pengusaha taska kita untuk beroperasi secara sah tanpa berkompromi soal keselamatan,” ujarnya.

Sementara itu, Nancy berkata, KPWKM sedang dalam perancangan untuk mewujudkan pangkalan data pusat pengasuhan bagi memudahkan ibu bapa mendapatkan perkhidmatan taska yang bersesuaian.

“Ibu bapa yang hantar anak-anak mereka ke taska tidak ada tempat rujukan cuma dapat maklumat daripada mulut ke mulut sahaja, mereka perlu lihat lokasi yang bersesuaian dan siapa yang operasikan premis tersebut,” ujarnya.

Bagaimanapun, Nancy tidak menyatakan bila pangkalan data pusat pengasuhan tersebut akan direalisasikan kerana menurutnya perkara tersebut memerlukan tempoh kajian yang lama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya