KUALA TERENGGANU: Kerajaan tidak berpuas hati jumlah individu bekerja sendiri yang dilindungi di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) masih rendah sejak diperkenalkan pada 1 Jun 2017.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, setakat ini, hanya seramai 634,215 orang atau 21.9 peratus daripada 2.89 juta orang yang bekerja sendiri di negara ini dilindungi di bawah skim tersebut.
Menurutnya, data itu menunjukkan masih ramai yang tidak tahu mengenai faedah dan perlindungan yang bakal diterima sekiranya membuat caruman skim tersebut melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Mungkin juga ada yang beranggapan hanya individu yang bekerja dan mempunyai majikan sendiri sahaja layak berdaftar dengan skim-skim yang ada di bawah Perkeso.
“Ada juga yang tidak mencarum kerana berasa selamat, seolah-olah perkara buru (kemalangan atau bencana tempat kerja) yang berlaku terhadap orang lain tidak akan berlaku kepada mereka.
“Sebenarnya, kadar caruman skim ini adalah antara yang terendah di pasaran dan ia mampu dibayar oleh pencarum, oleh itu Perkeso juga akan memperhebatkan lagi kempen promosi kesedaran mengenai skim ini melalui pelbagai kaedah agar ia sampai kepada semua golongan sasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Rehabilitasi Perkeso Kuala Terengganu di Hotel Permai di sini, hari ini.
SKSPS melindungi orang yang bekerja sendiri dalam 20 sektor pekerjaan seperti pertanian, kesenian, perhutanan, perikanan, makanan, pembinaan, pembuatan, pemprosesan data, pengangkutan penumpang, penghantaran barangan dan makanan, premis penginapan dan teknologi maklumat.
Sivakumar memberitahu, sejak dilancarkan pada 1 Jun 2017, Perkeso telah membayar faedah bernilai RM15.5 juta kepada 4,890 orang bekerja sendiri yang berdaftar di bawah SKSPS.
Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata, Pusat Rehabilitasi Perkeso di Hotel Permai yang mula beroperasi sejak 28 Jun 2020 telah memberi manfaat rawatan pemulihan kepada seramai 515 orang berinsurans setakat ini.
“Daripada jumlah itu, seramai 111 orang telah pulih dan kembali bekerja semula seperti biasa,” katanya.
Menurut beliau, pusat tersebut adalah satu-satunya pusat rehabilitasi satelit yang beroperasi di Pantai Timur dan dilengkapi dengan pelbagai peralatan robotik yang tercanggih, bagi membantu proses rawatan rehabilitasi orang berinsurans. – UTUSAN