Judi: Tahniah kerajaan negeri Perlis - Utusan Malaysia

Judi: Tahniah kerajaan negeri Perlis

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHNIAH dan syabas kepada kerajaan negeri Perlis yang diketuai Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli yang tegas dengan pendirian tidak akan menyambung atau memperbaharui lesen perjudian.

Perlis mengikut jejak langkah Kelantan, Terengganu, Kedah yang terlebih dahulu mengharamkan operasi premis judi berkenaan.

Sebagai umat Islam, kita turut memuji langkah tersebut dan dalam konteks negeri dilihat tidak terlalu banyak halangan ke arah pengharaman premis perjudian atau kedai nombor ekor tersebut.

Langkah mengharamkan operasi premis judi itu dilihat bukan bersifat rasis atau meminggirkan kaum-kaum tertentu, sebaliknya ia dilaksanakan demi kebaikan semua pihak tanpa mengira latar belakang agama mahupun kaum.

Sejak dari awal mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri, Mohd. Shukri konsisten dengan keputusan untuk menghentikan operasi premis perjudian itu dan ia bukannya merupakan langkah tergesa-gesa.

Terdapat enam premis perjudian di negeri ini dan lesen bagi pengusaha terakhir yang menjalankan operasi berkenaan dijadualkan tamat tempoh pada Mac 2024.

Selepas penamatan tempoh tersebut yang tidak berlaku secara serentak, tidak ada mana-mana lagi pengusaha premis judi akan diberikan kelulusan bagi penyambungan lesen operasi dan ia selaras dengan polisi baharu dibawa kerajaan negeri ini.

Selain itu juga, dalam usaha membasmi aktiviti judi di Perlis secara total, kedai-kedai judi dan nombor ekor haram termasuk secara dalam talian juga perlu dipantau secara habis-habisan.

Kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Fakhrul Anwar Ismail, penamatan lesen premis judi itu tidak dibuat secara drastik tetapi berdasarkan kepada tarikh penamatan tempoh lesen di premis perjudian masing-masing.

Malah katanya, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) juga telah memberi taklimat lisan dan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada pengusaha terlibat lebih awal untuk bersedia.

Kerajaan negeri juga mengambil pendekatan cukup lunak bagi memastikan tidak timbul kejutan kepada premis-premis judi ini selepas puluhan tahun menjalankan operasi.

“Sebenarnya, isu penutupan premis judi ini juga bukannya perkara baharu yang mengejutkan malah pelaksanaannya juga telah dibuat di beberapa negeri lain seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya.

Selepas empat negeri berkenaan, negeri mana lagi selepas ini akan mencontohi pendekatan pengharaman operasi premis judi tersebut.

Sebelum ini, semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya susulan keputusan kerajaan negeri itu tidak lagi memperbaharui lesen perjudian yang tamat tempoh pada 31 Disember lalu.

Di Kelantan, sudah lebih 30 tahun kerajaan negeri itu melarang mengeluarkan lesen premis kepada semua jenis perjudian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya