Johor bincang dengan Orang Asli isu warta Tanah Kesultanan

Johor bincang dengan Orang Asli isu warta Tanah Kesultanan

ZAHARI Sarip (dua dari kanan) menyampaikan telur dan ayam kepada salah seorang pengunjung pada jualan happy hour sempena Majlis Johor Fama Fest 2023 di AEON Bukit Indah, Johor Bahru, hari ini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Isu status tanah adat masyarakat Orang Asli di negeri ini diwartakan sebagai Tanah Kesultanan telah dibincangkan antara kerajaan negeri bersama wakil masyarakat golongan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, perkara itu dibuat secara meja bulat dan bukan secara terbuka melibatkan pihak berkepentingan.

Menurut beliau, langkah tersebut diambil bagi memastikan tiada sebarang provokasi dilakukan pihak tidak bertanggungjawab berhubung isu berkenaan.

“Ya, ada perbincangan berlaku (berkenaan tanah adat masyarakat Orang Asli diwartakan Tanah Kesultanan) kerana memang mereka bertanyakan soal ini, tetapi perbincangan itu diadakan di meja bulat.

“Ini kerana saya bimbang ada pihak ambil kesempatan dan lakukan provokasi sekiranya perbincangan dibuat di luar, jadi sebarang perbincangan berkaitan Tanah Kesultanan ini perlu dibuat dengan teliti. 

“Walau bagaimanapun, kerajaan negeri masih dalam proses perbincangan dengan masyarakat Orang Asli dan kita harap perkara ini selesai dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Johor Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fest 2023 di Aeon Bukit Indah, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli; Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri dan Pengarah FAMA Johor, Faidz Afizi Mohamed.

Zahari turut memberitahu, pihaknya telah meninjau projek pertanian yang dijalankan masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi yang kawasan yang telah diwartakan sebagai Tanah Kesultanan.

“Saya sendiri dibawa meninjau ke satu kawasan yang telah diwartakan sebagai Tanah Kesultanan di Kampung Sayong Pinang, Kota Tinggi. Tanah itu diusahakan dengan tanaman sawit dan getah oleh Orang Asli, jadi tiada isu sebenarnya,” jelasnya.

Pada 8 Mei lalu, lebih 200 Orang Asli negeri ini berhimpun dan berarak secara aman di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, yang menempatkan Kompleks Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bagi membantah cadangan menjadikan tanah adat Orang Asli sebagai Tanah Kesultanan.

Pada 25 Mac lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencadangkan agar tanah Orang Asli di negeri ini dikategorikan sebagai Tanah Kesultanan bertujuan memastikan tanah-tanah tersebut menjadi lebih terbela di bawah enakmen yang tersedia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya