PETALING JAYA: Penyanyi rap, Kmy Kmo mendedahkan bukan mudah untuk menjadi seorang rapper kerana ia memerlukan kreativiti untuk menghasilkan lirik yang cemerlang.
Menurut penyanyi itu lagi, lirik rap yang baik bukanlah bersifat syok sendiri tetapi bersesuaian untuk dinikmati oleh semua peringkat umur.
“Dalam budaya hip hop, setiap rapper diwajibkan tulis lirik sendiri. Jika tidak, dia belum layak digelar rapper. Mungkin dia hanya sekadar penghibur atau penyanyi sahaja.
“Macam Malique, dia tidak akan tuliskan lirik untuk rapper lain. Kecuali kalau lagu itu featuring mana-mana penyanyi, barulah dia akan tuliskan lirik untuk penyanyi tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengakui kerjaya awalnya banyak dibantu oleh Malique, penyanyi 7 Nasihat itu tidak menafikan ada beberapa pendengar yang beranggapan karya yang dihasilkannya kedengaran sedikit mirip dengan lagu-lagu Malique.
“Saya tak marah jika orang menyamakan saya dengan Malique. Malah saya bangga dan berterima kasih. Itu menunjukkan pendengar nampak saya terinspirasi daripada Malique sebagai guru namun tetap menghasilkan lagu dengan cara saya sendiri.
“Malique pernah pesan, sampai bila kita nak hasilkan lagu yang hanya boleh dinikmati oleh kawan-kawan terdekat sahaja?
“Jadi dia ajar bagaimana untuk hasilkan lagu yang boleh didengari oleh semua lapisan umur,” tambahnya yang sebelum ini pernah berkolaborasi dengan barisan artis legenda tanah air seperti Datuk M.Nasir, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Jamal Abdillah.
Menurut Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, industri hip hop hari ini sudah meriah dengan kehadiran ramai rapper baharu yang tidak takut bereksperimentasi dengan muzik.
“Nama-nama seperti Altimet, Malique dan Joe Flizzow sudah di tahap lagenda. Tidak perlu dibandingkan antara rapper hari ini dengan mereka. Rapper dulu dan sekarang ada cara masing-masing
“Hari ini kita dapat saksikan industri hip hop negara berkembang pesat dengan bermacam jenis muzik, gaya dan pattern.
“Melihat kualiti muzik yang dihasilkan pengkarya tempatan yang ada sekarang, itu yang kita boleh banggakan,” katanya.