PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Datuk AC Mizal mengecam tindakan mana-mana pelawak yang menjadikan tragedi dan kematian sebagai sebuah bahan jenaka.
Menurut AC, 52, perbuatan tersebut bukan sahaja menunjukkan kejahilan seseorang pelawak malah ia juga merupakan sebuah strategi pemasaran yang murah.
“Isu sensitif tidak boleh dibuat lawak dalam apa cara sekalipun.
“Baru-baru ini kematian pun dianggap bahan jenaka sedangkan ada banyak lagi perkara yang boleh dilawakkan.
“Bagi saya ini adalah sebuah pemasaran yang murah dan dia telah menyundalkan dunia lawak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media Konsert Muzikal Lawak Nusantara, semalam.
Menurut AC atau nama sebenarnya Mizal Datuk Zaini, kewujudan platform digital pada hari ini telah meningkatkan akses informasi dari pelbagai negara.
Oleh itu, jenaka yang ingin dikongsikan haruslah diteliti agar ia tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.
“Media sosial membuatkan informasi dan kandungan boleh tersebar di seluruh dunia.
“Cuba lihat Mr. Bean atau Charlie Chaplin yang tidak bercakap namun lawaknya semua boleh faham dan terima,” katanya.
Walau kesalahan yang dibuat oleh seorang pelawak baru-baru ini dianggap besar, namun menurut AC, hal ini tidak perlu diperbesarkan sehingga meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol).
“Kesalahan yang dilakukan pelawak itu besar, namun dia tidak melakukan jenayah.
“Block sahajalah atau hapuskan video itu, mudah. Isu ini tidak perlu dipanjangkan,” katanya.
Dalam pekembangan lain, AC bakal terlibat dengan Konsert Muzikal Lawak Nusantara.
Konsert yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 19 Ogos ini menampilkan pelawak seperti Sharif, Atu, Melati dan Bocey.
Turut menjayakan konsert ialah barisan pelawak dari Indonesia seperti Sule, Rina Nose dan Aziz Gagap.