Jambatan siap, pekan Bagan Datuk sesak - Utusan Malaysia

Jambatan siap, pekan Bagan Datuk sesak

KEADAAN kesesakan kenderaan di pekan Bagan Datuk berikutan kedatangan pengunjung yang meningkat selepas Jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop dibuka. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Pekan Bagan Datuk di sini mengalami kesesakan lalu lintas sejak semalam berikutan jumlah pengunjung yang meningkat mendadak sebaik sahaja jambatan Bagan Datuk- Kampung Sejagop dibuka kepada pengguna sejak Khamis lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, suasana pekan kecil ini berubah suasana apabila jumlah pengunjung meningkat secara drastik untuk berkunjung ke pekan tersebut ketika cuti sekolah.
Bagan Datuk Water Front dan Masjid Tuminah Hamidi menjadi tumpuan pelancong menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di kawasan pekan ini.

Seorang pengunjung, Muhammad Hamizan Idiris dari Sekinchan, Selangor berkata, beliau dan keluarganya ke pekan ini selepas mengetahui Jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop sudah dibuka.

Katanya, sebelum ini dia pernah ke sini dan sekali lagi datang untuk melihat jambatan baharu yang kini dibuka kepada pengguna.

“Hampir dua tahun saya tidak ke sini kerana PKP (Pe­rintah Kawalan Pergerakan) di­sebabkan wabak Covid-19. Saya seronok ke sini sebab di sini bagi saya banyak tarikan apatah lagi Masjid Tuminah Hamidi sudah siap, ia sangat cantik.

“Apabila dapat tahu jamba­tan baharu yang menghubungkan Bagan Datuk dengan Daerah Perak Tengah sudah boleh digunakan, saya teruja, sangat seronok dan membawa anak-anak serta isteri bercuti di sini.

“Semasa melalui jambatan baharu untuk ke pekan ini, saya tengoh banyak kenderaan berhenti di kiri kanan atas jambatan, ramai orang ambil gambar dan berbilang bangsa yang masuk ke pekan Bagan Datuk.

“Hari ini nak letak kereta pun susah, semua penuh dan atas bahu jalan pun penuh dan terpaksa letak jauh untuk ke pekan ini,” katanya.

Jambatan Bagan Datuk-Sejagop yang menghubungkan Bagan Datuk dengan tiga daerah di Perak dan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang dibuka secara rasmi kepada pengguna mulai Khamis lalu.

Penyiapan jambatan bernilai RM460 juta itu dijangka mampu memberi impak besar terhadap pembangunan di daerah Bagan Datuk dalam jangka panjang khususnya usaha menarik pelaburan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya