Jambatan Bagan Datuk dicadangkan sempena nama Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Jambatan Bagan Datuk dicadangkan sempena nama Sultan Nazrin

AHMAD Zahid Hamidi menunjukkan isyarat bagus pada majlis pelancaran Jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Jambatan baharu yang menghubungkan Daerah Bagan Datuk ke Kampung Sejagop, Pasir Salak di sini dicadangkan sempena nama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan disembah maklum kepada baginda dalam masa terdekat bagi mendapat perkenan.

“Saya ingin mencadangkan jambatan itu dinamakan sebagai Jambatan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan saya mohon agar tuanku perkenan nama itu.

“Dan (mohon memperkenankan) tarikh perasmiannya sempena dengan Hari Keputeraan Baginda (pada November) tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Laluan Bagan Datuk–Kampung Sejagop di sini hari ini.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut melancarkan laluan baharu bas henti-henti Mara Liner Sdn Bhd (MLSB) yang menghubungkan Bagan Datuk ke Teluk Intan dan Kampung Gajah.

Laluan baharu yang telah memulakan operasi pada 12 April itu memberi manfaat kepada lebih 151,539 komuniti setempat termasuk 11 institusi pengajian, lima klinik kesihatan, Felcra, estet, hospital dan balai polis.

Inisiatif yang digerakkan bagi memperkasa sistem pengangkutan awam itu antara lain membantu masyarakat setempat dengan menghubungkan kawasan luar bandar dan bandar.

Sementara itu, Jambatan Bagan Datuk-Sejagop yang menghubungkan daerah Bagan Datuk dengan tiga daerah di Perak dan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dibuka kepada pengguna mulai semalam.

Penyiapan jambatan bernilai RM460 juta itu dijangka mampu memberi impak besar terhadap pembangunan di daerah Bagan Datuk dalam jangka panjang khususnya dalam usaha menarik pelaburan.

Jambatan itu memberi kemudahan kepada akses laluan pengangkutan utama dengan masa lebih singkat seperti ke Lembah Klang dan Pelabuhan Lumut, selain menghubungkan Bagan Datuk dengan daerah Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak.

Apabila WCE siap sepenuhnya nanti, perjalanan dari Lembah Klang ke Bagan Datuk hanya mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit berbanding hampir tiga jam sekarang.

Projek pembinaan jambatan tersebut sepanjang 10.5 kilometer dengan 1.54 km adalah panjang jambatan merentasi Sungai Perak, mula dibina pada 2016. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya