GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengesan 71 kes pendaftaran lewat bagi sijil kelahiran dan kad pengenalan selain 33 kes permohonan bantuan dan kad Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam kalangan Orang Asli di daerah ini.
Timbalan Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, kes-kes terbabit berjaya dijejak dan diselesaikan menerusi Program Outreach dan Kembara Mesra Rakyat selama hampir seminggu melibatkan lima pos penempatan Orang Asli di sini.
Katanya, usaha itu dilakukan bersama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Hasil daripada wakil agensi turun padang kita dapat menyelesaikan sebanyak 18 kes daftar lewat kelahiran dan 53 kes membuat kad pengenalan.
“Selain itu, 33 kes juga berjaya dikesan oleh JKM sepanjang program ini melibatkan 22 kes permohonan bantuan asnaf bagi penduduk yang layak serta 11 kes permohonan kad OKU,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di Kampung Bihai Lama, Pos Bihai.
Roslina berkata, selain turun padang menyelesaikan beberapa isu yang dihadapi oleh Orang Asli suku kaum Temiar di kawasan yang terlibat, kembara tersebut turut bertujuan untuk membuat beberapa aktiviti riadah untuk penduduk sekitar.
Katanya, sebanyak lima pos pedalaman yang dipilih iaitu Pos Simpor, Pos Gob, Pos Balar, Pos Bihai dan Pos Belatim.
“Kami berharap dapat melaksanakan lagi program ini pada masa akan datang dan mencari lagi masyarakat Orang Asli yang tiada dokumen pengenalan diri,” katanya. – UTUSAN