PUTRAJAYA: Masyarakat Islam seluruh dunia disarankan agar bijak memanfaatkan penggunaan media sebagai senjata berkesan dalam misi usaha pembebasan kembali Palestin.
Perkara berkenaan disarankan Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr. Ekrima Said Sabri ketika berucap merasmikan Kongres Palestin Sedunia 2023 buat julung kali di sini hari ini.
“Umat Islam sejagat wajar mengeksploitasi teknologi media massa termasuk digital untuk membentuk pendapat awam global bagi isu perjuangan kemerdekaan Palestin,” jelasnya.
Persidangan itu yang turut dibuat secara hibrid untuk penonton di luar negara dianjurkan Barisan Bertindak Keadilan Palestin (JPAF) myang erupakan inisiatif Yayasan Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia (MyREF) dengan bekas Mufti Palestin itu dibawakan khas sebagai tetamu istimewa.
Mengulas lebih lanjut, beliau sependapat dengan intipati ucap tama yang disampaikan sebelum itu oleh Pengerusi JPAF sendiri, Profesor Emeritus Datuk Abang Abdullah Abang Ali, yang memberitahu strategi antarabangsa untuk gerakan pembebasan Palestin kini perlu bijak menggunakan media.
Sehubungan itu ujar beliau, tokoh akademik itu yang juga Pengerusi Lembaga Amanah MyREF berpendapat, pendekatan keras sepatutnya kini digantikan dengan cara komunikasi berhemah tetapi mampu memberi impak pengaruh luas.
“Usaha berterusan bagi membina naratif pendapat awam yang cenderung memihak dan menyebelahi Palestin harus diperkukuh menerusi kaedah media massa,” tambah Ekrima.
Meskipun tidak menjelaskan secara terperinci, cendekiawan Baitulmaqdis itu dipercayai merujuk pendekatan berat sebelah media Barat yang dikuasai taikun pro-Israel selama ini.
Situasi itu mengakibatkan mana-mana pihak yang mengkritik Israel lazimnya dilabel jahat sebagai antisemitik manakala jika bersimpati dengan Palestin pula digelarkan pengganas.
Senario canggung itu namun tidak berlaku di Malaysia dan negara-negara tiada hubungan diplomatik dengan Israel apabila media bebas melaporkan apa yang berlaku di Palestin. – UTUSAN