Jabatan, agensi diyakini bijak teroka sumber baharu datangkan hasil Perlis - Utusan Malaysia

Jabatan, agensi diyakini bijak teroka sumber baharu datangkan hasil Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan agihan zakat MAIPs di Arau, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail penuh yakin setiap jabatan serta agensi di Perlis bijak meneroka sumber-sumber baharu yang boleh mendatangkan hasil kepada negeri.

Baginda percaya setiap organisasi akan melipatgandakan usaha berfikir secara lebih kritis dan serius untuk mempelbagaikan lagi hasil dan tidak semata-mata bergantung kepada kutipan hasil cukai tanah dan premium.

Saranan baginda juga adalah supaya setiap jabatan serta agensi negeri memberi fokus yang lebih kepada pengeluaran produk hiliran, penelitian semula caj-caj kemasukan tempat pelancongan, menyewakan lot-lot atau tapak-tapak tanah bagi tujuan aktiviti perniagaan dan lain-lain yang difikirkan wajar secara telus.

“Pada masa sama, elemen penguatkuasaan perlu dipergiatkan lagi supaya segala hasil negeri dapat ditingkatkan di samping memudahkan proses penyewaan tapak-tapak perniagaan berkenaan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd. di sini, semalam.

Tiga asnaf yang disantuni dan diserahkan sumbangan agihan zakat MAIPs oleh baginda bagi sesi ini ialah Che Wan Kamis,67, Arop Man, 74 dan Abu Hassan Awang,73,.

Masing-masing menerima RM700 beserta beras fidyah dan sekotak ‘Kit MAIPs Peduli’ berisi bahan makanan mentah.

Hadir mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan kepimpinan Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd. terdiri daripada pengasasnya, Datuk Sri Dr. Richard Ong serta pengarah-pengarah eksekutif, Kevan Ong Kin Wye dan Keefe Ong.

Dalam pada itu, baginda berharap agar lebih banyak inisiatif pelancongan, jaminan bekalan makanan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dilaksanakan di negeri ini.

“Ia bagi terus menyumbang kepada segala perancangan pembangunan serta memberi manfaat kepada rakyat bagi jangka pendek sebagai ‘quick wins’ dan juga jangka panjang,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya