PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedia menimbang untuk menambah baik langkah menangani isu tekanan dan kesihatan mental dalam kalangan petugas kesihatan.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara itu turut menjadi keutamaan KKM dan antara terkandung dalam tonggak kedua menerusi Kertas Putih Kesihatan.
Bagaimanapun, beliau berkata, langkah-langkah sedia ada ketika ini sudah pun mencukupi iaitu mereka yang berdepan masalah boleh mendapatkan bantuan sokongan daripada golongan profesional.
“Mereka juga boleh menghubungi Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan (Talian HEAL) kendalian Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan di talian 15555 yang beroperasi setiap hari bermula pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam.
“(Jadi) saya minta mana-mana sahaja petugas (kesihatan) kita yang ada masalah emosi, tekanan dan sebagainya, kita ada ruang dan tempat untuk konsultasi, (jadi) ambil peluang itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Global Association of Clinical Officers and Physician Associates (GACOPA) 2023 di sini hari ini.
Zaliha berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kejadian kematian mengejut melibatkan dua petugas kesihatan di Klang yang berkhidmat di dua fasiliti kesihatan berbeza masing-masing pada 4 dan 6 Jun lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan polis menjalankan siasatan bagi kedua-dua kes berkenaan, selain turut menasihati semua pihak mengelak daripada membuat sebarang spekulasi dan tidak menyebarkan maklumat berkaitan kes.
Kelmarin, media melaporkan polis tidak menolak kemungkinan tekanan perasaan menjadi punca seorang doktor hamil empat bulan ditemui mati dengan menggantung diri di rumahnya dalam kejadian di Klang, awal bulan ini.
Zaliha pada masa sama menegaskan, pihaknya sedang melakukan siasatan levbih terperinci mengenai kes berkenaan.
“Saya harap semua khususnya petugas kesihatan menjaga kesihatan diri (dan) kejadian seumpama ini tidak lagi berulang,” katanya. – UTUSAN