KANGAR: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli mempertahankan pemilihan logo Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang mendapat kritikan daripada pelbagai pihak sebelum ini.
Menurut Mohd. Shukri, menerusi pemerhatian beliau, hantaran berhubung pemilihan logo berkenaan di laman Facebook hanya dibantah oleh tiga ke empat orang individu sahaja.
Katanya, tiada sebarang isu yang timbul berikutan pemilihan logo berkenaan yang didedahkan sejak Jumaat lalu.
“Saya tengok dalam tu (laman sosial) baru 19 orang (yang respons), yang tak suka tu baru tiga ke empat orang. Jadi tak timbul isu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, logo Tahun Melawat Perlis yang dipamerkan menerusi laman Facebook Tourism of Perlis Official itu mendapat kritikan ramai pihak termasuk Timbalan Pengerusi PKR negeri, Noor Amin Ahmad.
Menurut Noor Amin, kerajaan negeri pastinya mempunyai rekaan yang lebih menarik dan bermakna dalam pemilihan logo berkenaan bersesuaian dengan sektor pelancongan negeri.
Katanya, reka bentuk logo yang dipilih itu juga kelihatan agak ‘cincai’ berbanding beberapa logo lain yang menyertai pertandingan itu.
Pertandingan bagi mencipta logo Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dibuka penyertaan pada 10 Januari sehingga 28 Februari dengan mendapat sebanyak 29 penyertaan dari seluruh Malaysia.
Pemilihan pemenang dinilai oleh juri-juri profesional dan semua keputusan dibuat penganjur adalah muktamad.-UTUSAN