PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Presiden Kehormat Pertubuhan UAV Dunia (WUAVF), Sabtu lalu.
Ahli Parlimen Bera itu dalam hantaran Facebook miliknya mengucapkan terima kasih kepada WUAVF kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk mempromosi industri pesawat udara tanpa pemandu (UAV) kepada dunia.
Menurutnya, industri tersebut berkembang dengan sangat pantas dan perlu dikuasai segera oleh semua pihak.
“Industri dron berkembang sangat pantas. Sebagai contoh, pengeluar-pengeluar utama dron sedang sedaya upaya untuk menghasilkan kenderaan tanpa pemandu yang lebih besar bagi memudahkan urusan harian.
“Teknologi ini harus dikuasai dengan segera. Jika dahulu dron digunakan oleh tentera tetapi hari ini ia menjadi satu teknologi yang melibatkan semua bidang sama ada di darat, di bawah air atau udara,” katanya.
Watikah lantikan itu diserahkan oleh Presiden WUAVF, Jincai Yang dalam satu majlis sempena Kongres Drona Dunia Ke-7 di Shenzhen, China, Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau akan membantu pertubuhan tersebut mempromosikan industri tersebut demi kesejahteraan dunia.
Jelasnya, ketika menerajui pemerintahan negara, beliau memberikan perhatian serius kepada industri tersebut untuk diaplikasikan dalam kehidupan dan menjadi sumber pendapatan baharu negara.
Malah beliau telah melancarkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) sebagai agenda nasional bagi menyokong ekosistem dron. –UTUSAN