PETALING JAYA: Tiada kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat ekoran jerebu setakat pukul 5 petang ini.
Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 16 stesen mencatatkan bacaan IPU baik manakala 52 kawasan sederhana.
Sebagai rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.
Semalam, akhbar ini melaporkan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) membuat pengumuman ketika mengeluarkan Amaran Tahap Satu yang menunjukkan permulaan musim kemarau yang dikaitkan dengan Monsun Barat Daya di rantau selatan ASEAN.
Dengan kemungkinan tinggi El Nino berlaku dalam beberapa bulan akan datang, musim kemarau dijangka lebih teruk dan berpanjangan berbanding tahun-tahun lalu serta dijangka berlarutan hingga Oktober depan.
Sementara itu, sebanyak 11 kawasan di negara ini merekodkan cuaca panas tahap satu (berjaga-Jaga) setakat pukul 4.40 petang ini.
Melalui web Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Terengganu merekodkan cuaca tahap satu terbanyak iaitu sebanyak lima kawasan (Raub, Bentong, Temerloh, Jerantut dan Kuantan).
MetMalaysia turut merekodkan Pasir Mas dan Kuala Krai di Kelantan, Kampar di Perak, dan tiga kawasan di Sabah (Kinabatangan, Kota Kinabalu dan Beaufort) berada pada kategori tahap satu.
Kawasan lain pulamasih berada pada suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah selsius dan tiada kawasan berada pada tahap dua (gelombang haba) dan tahap tiga (gelombang ekstrem haba). – UTUSAN