IPTA disaran guna bahasa Melayu dalam pengajaran subjek wajib

IPTA disaran guna bahasa Melayu dalam pengajaran subjek wajib

MOHAMED Khaled Nordin bersama warga IPT melancarkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa llmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023-2030 di UIAM Gombak, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Institut pengajian tinggi awam (IPT) disaran melaksanakan pengajaran subjek-subjek wajib dalam bahasa Melayu sebagai menyokong Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa llmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023-2030.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah ini membuka satu ruang penting yang menuntut penggunaan bahasa Melayu secara tersusun.

Menurut beliau, perkara itu antara terkandung dalam 11 strategi dan 26 inisiatif pelaksanaan pelan tersebut bagi IPTA berasaskan empat teras utama.

Teras pertama ialah pembudayaan bahasa Melayu dalam pengajaran, pembelajaran dan aktiviti kokurikulum; kedua, pemerkayaan bahasa dan persuratan Melayu di IPTA dan antarabangsa.

“Ketiga, pengukuhan bahasa Melayu di IPTA sebagai wadah pembangunan negara dan yang terakhir, pemerkasaan IPTA dalam pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,” katanya ketika melancarkan Pelan Tindakan itu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.

Pelan Tindakan ini merupakan kesinambungan daripada Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPT 2011 – 2015 dan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Universiti Awam (UA) 2016 – 2020.

Mohamed Khaled berkata, IPTA turut dicadangkan agar menetapkan lulus subjek bahasa Melayu peringkat komunikasi asas menjadi syarat graduasi bagi pelajar prasiswazah antarabangsa.

Melalui pendekatan seperti ini, katanya, ia bukan sahaja mempamerkan keseriusan dalam mengangkat penggunaan bahasa Melayu yang baik, malah dapat mengembangkan kelompok penuturnya di samping berpeluang menunjukkan keindahan Bahasa Melayu kepada orang luar.

“Dalam memastikan pelaksanaan saranan ini bersifat praktikal, saya menyarankan agar semua IPTA memikir dan melihat secara serius kaedah atau pendekatan terbaik serta bersesuaian dengan institusi masing masing.

“Pada masa sama, saya harap pelan ini menjadi rujukan penting dalam memperluas penawaran kursus bahasa Melayu untuk kakitangan akademik dan bukan akademik, meningkatkan bahan bacaan, koleksi dan bahan ilmiah dalam bahasa Melayu,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap inisiatif memartabatkan dan mengukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan turut dipanjangkan ke institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) secara berperingkat.

Katanya, antara langkah awal yang boleh dimulakan ialah membuka pencalonan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu agar turut melibatkan ahli-ahli akademik dari IPTS bermula tahun 2024.

Bagi jangka panjang pula, katanya, kementerian turut merancang untuk membangunkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu di IPTS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya