IPT diminta fokus promosi kepakaran, jangan hanya kejar penarafan dunia

IPT diminta fokus promosi kepakaran, jangan hanya kejar penarafan dunia

MOHAMMAD SHATAR SABRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini perlu lebih fokus mempromosikan kepakaran masing-masing dan tidak hanya memperbaiki kedudukan penarafan universiti dunia saban tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, dengan kekuatan 20 universiti awam dan lebih 400 IPT swasta, pendidikan tinggi Malaysia mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh diketengahkan hingga ke peringkat global.

Beliau berkata, usaha itu mampu membantu pembangunan masyarakat dan kemajuan negara selaras dengan objektif asal atau asas penubuhan sesebuah IPT.

“Usaha itu secara tidak langsung dapat meningkatkan imej IPT tempatan di peringkat antarabangsa seterusnya menjadikan negara ini hab bakat dan ilmu sejagat.

“IPT tempatan juga perlu keluar dari sempadan Malaysia dan aktif menyertai acara pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa seperti seminar serta menjadi pengucaptama dalam persidangan,” katanya.

Katanya, inisiatif menonjolkan tujahan IPT akan memberi kemudahan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyarankan universiti yang berkenaan bagi tujuan membantu negara apabila diperlukan.

Mohammad Shatar berkata, sekiranya usaha (promosi) ini tidak dilakukan, sukar bagi masyarakat dunia mengenali Malaysia dan kemampuan negara dalam konteks pendidikan tinggi.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, pihaknya sentiasa meneroka kerjasama dengan agensi akreditasi luar negara, namun inisiatif itu perlu mendapat sokongan IPT tempatan dengan memperkasa bidang tujahan IPT.

“Malaysia terkenal dengan kualiti pendidikan tinggi yang baik, justeru apabila disokong oleh bidang tujahan IPT, ia akan memudahkan usaha itu.

“Apabila bidang tujahan IPT sudah mampan, percayalah secara automatik kedudukan penarafan universiti kita di persada dunia juga akan bertambah baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya