KANGAR: Intel Marine (M) Sdn. Bhd dan syarikat sekutunya, Aurora Synergy Sdn. Bhd membuktikan kemampuan apabila telah banyak menyelenggara kapal-kapal mewah antarabangsa sejak ditubuhkan pada 2011.
Sebagai rekod, syarikat berkenaan merupakan syarikat tempatan yang berkeupayaan dan berpengetahuan luas berkaitan pengurusan proses pembaikkan kapal-kapal mewah.
Terbaharu, syarikat berkenaan juga terlibat dalam menguruskan perkhidmatan penyelengaraan dan penambahbaikan (Yacht Refit) sebuah kapal layar mewah Adastra milik taikun perkapalan berpengkalan di Hong Kong, Anton Marden.
Sejak 12 tahun lalu, Intel Marine dan Aurora Synergy pernah menjadi pengurus pembaikan bagi kapal mewah antarabangsa antaranya seperti M/Y Calisto (43M), M/Y Elysium(34M), M/Y Nymphea(32M), Bennetau dan M/Y Adastra (43M).
Proses pembaikkan tersebut pernah dilaksanakan di beberapa limbungan tempatan antaranya Boustead Naval Shipyard, Langkawi Shipyard, Grade One Shipyard dan Perlis Marine Engineering (PME).
Pengarah dan Pengurus Intel Marine, William Wong berkata, syarikat berkenaan juga kini dalam perbincangan dengan beberapa pemilik kapal mewah tersebut yang dalam persediaan untuk mengulangi proses pembaikan.
Katanya, beliau juga berhasrat untuk mengembangkan perniagaan Intel Marine dan Aurora Synergy di masa akan datang dan berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai antara hub pilihan kepada kapal-kapal mewah menjalani proses pemulihan dan pembaikan.
“Terkini, Intel Marine dan Aurora Synergy sedang dalam proses untuk menyediakan suatu kemudahan parkir yang boleh memuatkan sekitar 300 bot-bot pelayaran di Pulau Langkawi.
“Adalah diharapkan agar usaha-usaha Intel Marine dan Aurora Synergy ini dapat diteruskan agar dapat membuka mata antarabangsa berkaitan keupayaan dan kebolehan pemain-pemain industri marin tempatan ini,” katanya.
Tambah beliau, pemilik Adastra, Anton juga telah mempercayai khidmat pengurusan pembaikan oleh Intel Marine sejak 2012 dan berjanji akan meneruskan usahasama yang baik serta mendatangkan kepuasan hati bersama di masa akan datang.
Katanya, kepercayaan yang diberikan oleh Anton kepada sebuah syarikat tempatan untuk mengurus dan mengendali proses pembaikan kapal mewah Adastra ini adalah sesuatu yang patut dibanggakan.
“Cuma pada kali ini, proses pembaikan Adastra ini tidak dapat dibaiki di Boustead Naval Shipyard, Lumut kerana beberapa kekangan kerja. Namun PME telah berani tampil sebagai limbungan kapal tempatan yang sanggup menyahut cabaran untuk menyiapkan proses penyelengaraan dan penambahbaikan bahagian dalaman kapal mewah Adastra ini.
“Keberanian pihak PME ini membuktikan bahawasanya kita tidak kekurangan tempat, bakat dan kebolehan untuk kerja-kerja sekompleks ini.
“Hasilnya seperti yang dilihat, Adastra bukan sahaja telah dapat disiapkan mengikut spesifikasi yang tinggi seperti yang ditetapkan oleh pemiliknya malah proses pembaikan tersebut juga telah berlangsung mengikut jadual yang betul serta pada harga yang kompetitif.
“Kejayaan menyerahkan kapal Adastra kepada pemiliknya Anton mengikut standard penambahbaikan yang diingininya ini memang sesuatu yang memuaskan” katanya merangkap pengarah dan pengurus projek Intel Marine.-UTUSAN