Inspektor percubaan dituduh terima rasuah

Inspektor percubaan dituduh terima rasuah

BASREE Ibrahim ketika dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang inspektor percubaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bagi berdepan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada seorang wanita, September tahun lalu.

Tertuduh, Basree Ibrahim, 38, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar didakwa menerima rasuah tersebut daripada seorang wanita yang kini berusia 35 tahun.

Wang suapan itu diterimanya sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu tidak mengambil tindakan terhadap wanita berkenaan, yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam, 17 September 2022 di sebuah restoran di Jalan Alor Mengkudu, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Tertuduh tidak diwakili peguam, namun dia memaklumkan kepada mahkamah akan berbuat demikian selepas ini.

Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan agar tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin pada kadar RM10,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh bagaimanapun memohon agar kadar jaminan dikurangkan kerana anaknya masih bersekolah.

Hakim bagaimanapun menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin. Tarikh sebutan semula pada 27 Julai depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Tertuduh turut diarahkan untuk melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan serta tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan. Dia kemudiannya difahamkan membayar kadar jaminan ditetapkan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya