PETALING JAYA: Apa pun orang kata tentang nasi lemak, terutama aspek negatif , tetapi penggemarnya tetap ramai. Nasi lemak sudah menjadi menu sarapan wajib di negara ini tanpa mengira latar belakang kaum, bangsa, agama serta peringkat umur.
Dengan popularitinya itu , penggemarnya bukan sahaja nasi lemak itu sedap tetapi juga tahan lama disimpan.
Justeru, sekumpulan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Makanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), tampil dengan inovasi lipatan pembungkusan nasi lemak yang unik dan menggunakan santan sawit bertujuan memanjangkan ketahanan nasi lemak hingga lapan jam.
Idea Kumpulan pelajar terbabit menghasilkan inovasi berkenaan tercetus kerana kecintaannya pada makanan tradisi orang Melayu itu yang tidak tahan lama jangka hayatnya apabila dibungkus sekali bersama timun dan sambal.
Kumpulan pelajar berkenaan yang diketuai oleh penyelidiknya Mas Amalia Mohd Effendi.
Menurutnya penggunaan santan sawit yang menggantikan santan kelapa dalam penyediaan nasi lemak juga mempengaruhi jangka hayat nasi lemak.
“Oleh itu kami menggunakan kedua-dua jenis santan untuk membuat kelainan dalam penyediaan hidangan
““Saya mendapati bahawa nasi lemak yang dibalut unik menerusi teknik lipatan tanpa menggunakan dawai kokot serta mempunyai pembahagian antara nasi, sambal dan timun menggunakan plastik terbiodegradasi memberikan nasi lemak kekal segar lebih lama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
“Saya juga mengubah suai cara pembungkusan iaitu mengasingkan sambal dan timun daripada bercampur dengan nasi lemak untuk mengatasi masalah hidangan itu mudah rosak,” katanya lagi.
Katanya lagi kajian tersebut dijalankan pada Hari Pengenalan Produk Baharu yang dianjurkan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM) UPM 2023 dan membawa pulang wang kemenangan sebanyak RM2,000.
Mas Amalia yang merupakan pelajar tahun tiga turut meluahkan rasa terkejutnya dan tidak menjangka hasil inovasi makanan bersama tujuh ahli kumpulannya itu berjaya menambat hati para juri yang merupakan pemain industri makanan.
“Hampir 14 minggu saya dan ahli kumpulan bertungkus lumus menyiapkan produk ini dan sememangnya sudah banyak kali saya rasa berputus asa sehingga tidak mahu lagi meneruskan projek ini. Pada saat akhir juga, saya dan ahli kumpulan masih mengubah video projek makanan ini.
“Saya lihat ahli kumpulan lain semuanya hebat. Jadi saya tidak pernah jangka kumpulan kami akan menjadi juara tambahan pula sumber bahan uji kaji untuk penilaian mikrobiologi tidak mencukupi dan pernah hasil uji kaji penilaian makmal kumpulan kami gagal. Jadi kami perlu buat lagi sekali,” jelasnya yang mengetuai penyelidikan tersebut bersama kumpulan .Mak-Zee Sdn Bhd.
Tambahnya lagi, program yang bertemakan Inovasi Penggerak Industri Makanan itu memberi tumpuan kepada penyelesaian yang dihadapi oleh industri makanan seperti pemanjangan jangka hayat serta penambahbaikan ciri-ciri fizikokimia dan kandungan nutrisi produk secara amnya.
Sementara itu, katanya akan ada lagi kajian dan inovasi baharu jika ada mana-mana universiti atau syarikat yang membuka peluang kepada kumpulan mereka.
“Jika ada peluang untuk kami sertai, akan ada produk dan inovasi yang akan dihasilkan oleh kami. Bergantung kepada peluang dan persaingan di luar sana,” katanya. –UTUSAN