BAYAN BARU: Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai, Jalan Tengah di sini tersenarai antara 10 Sekolah Terbaik Dunia dalam Pertandingan World Best School Prizes (WBSP) bagi Kategori Inovasi iaitu menerusi Smart and Easy Table 2.0 (SnET).
Pengumuman itu yang dibuat kira-kira pukul 2 petang hari ini secara online oleh organisasi pendidikan global, ‘T for Education’ yang berpangkalan di United Kingdom (UK) disambut dengan perasaan gembira oleh seluruh warga SK Seri Permai terutama guru besar sekolah berkenaan, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail yang mencetuskan idea SnET 2.0.
SnET 2.0 merupakan inovasi meja dan ruang simpanan buku yang membantu mengatasi isu masalah beg sekolah berat dalam kalangan pelajar sekolah.
Mohammad Sabarullah berkata, selepas berjaya tersenarai antara 10 sekolah terbaik hari ini, SK Seri Permai layak ke pusingan seterusnya iaitu pemilihan untuk ‘Top 3’ pada Oktober ini.
”Kami menyertai pertandingan ini secara berperingkat sejak Januari lalu, dan hari ini SK Seri Permai telah terpilih antara 10 sekolah terbaik Pertandingan World Best School Prizes (WBSP) bagi Kategori Inovasi.
”Kami berharap pada Oktober nanti, sekolah ini akan terpilih sebagai pemenang pertandingan ini dan kami dapat berkongsi inovasi SnET 2.0 dengan sekolah-sekolah lain di luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di SK Seri Permai, di sini hari ini.
Menurut Mohammad Sabarullah, SnET 2.0 tersebut dibangunkan sendiri oleh beliau dengan kerjasama para guru dan Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani yang mana inovasi tersebut merupakan yang pertama di Malaysia serta dunia.
“Kami mula membangunkan SnET 2.0 sejak 2020 dan setakat ini telah memasuki fasa ketiga yang mana kira-kira 300 buah meja lagi dijangka siap September ini untuk kegunaan 1,500 murid.
”Pada masa ini, sekolah ini mempunyai dua sesi iaitu sesi pagi dan petang, jadi 800 meja mencukupi untuk murid di sekolah ini,” katanya.
Tambahnya, inovasi SnET 2.0 dapat membantu murid-murid datang ke sekolah dengan lebih gembira kerana mereka tidak lagi terbeban dengan masalah beg sekolah berat.
”Kami juga menerima panggilan daripada sekolah-sekolah lain seperti di Johor, Selangor, Kedah dan banyak lagi untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inovasi SnET 2.0,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad berkata, pencapaian SK Seri Permai tersebut merupakan satu kebanggaan kepada warga Kementerian Pendidikan (KPM).
”Kami di Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan KPM sangat berbangga dan gembira dengan pencapaian SK Seri Permai, saya percaya ini adalah hasil usaha semua pihak terutama guru besar, guru-guru dan para murid sekolah ini,” katanya. – UTUSAN