Import ayam jika harga bekalan tempatan meningkat

Import ayam jika harga bekalan tempatan meningkat

MOHAMAD Sabu (tengah) meninjau proses pembuatan baja bagi skim subsidi kerajaan oleh NAFAS di Kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd. (MNFSB) di Gurun. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURUN: Langkah mengimport ayam bulat dari luar negara dilakukan sebagai stok penimbal setiap kali berlaku kenaikan mendadak harga ayam segar di pasaran yang berpunca daripada kekurangan bekalan itu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keperluan itu bagi mengimbangi harga yang seterusnya memastikan pengguna mendapat bekalan pada harga berpatutan.

“Kita nak mengimbangi harga, memanglah penternak nak harga yang paling tinggi untuk dijual, manakala pengguna pula nak harga paling murah. Jadi, bagi memastikan bekalan ayam itu cukup dan harganya tidak naik melambung, caranya adalah kita tampung dengan import ayam dari luar,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd. di sini.

Beliau mengulas kebimbangan penternak tempatan susulan terdapat desas-desus kerajaan akan menambah bilangan sijil mengimport ayam bulat sejuk beku dari luar.

Pada masa sama Mohamad berkata, negara juga berupaya mengeksport bekalan itu terutama membabitkan pemodal luar yang membuka ladang ternakan ayam di sini sekiranya terdapat lebihan bekalan.

“Tetapi, sebarang keputusan mengimport atau menambah import adalah bergantung kepada keperluan dari masa ke semasa,” ujarnya.

Kerajaan sebelum ini memberi kebenaran untuk mengimport ayam bulat sejuk beku dari luar bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran, selain sekatan eksport ayam dan pemansuhan permit import (AP) pada Jun tahun lalu.

Dalam pada itu katanya, bekalan hasil pertanian di negara ini akan dijamin sentiasa mencukupi bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan kenaikan harga barang. 

Mohamad berkata, ia juga disebabkan terdapat ramalan antarabangsa yang melaporkan harga hasil pertanian akan meningkat dipengaruhi faktor perubahan cuaca dunia. 

Katanya, antara inisiatif kerajaan bagi memastikan pengguna memperolehi bahan mentah itu dengan mudah adalah membuka lebih banyak outlet pemasaran di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Minggu lalu Kabinet lulus untuk kita buka sehingga 5,000 outlet tahun depan. Ertinya kerajaan sentiasa ambil kaedah terbaik untuk pastikan bekalan mencukupi untuk menstabilkan harga sebab ramalan antarabangsa mengatakan soal perubahan iklim boleh menjadi sesuatu yang kurang menyenangkan.

“Jadi kerajaan bersedia untuk libat urus lebih luas daripada tahun ini,” katanya yang turut memaklumkan bekalan sayur-sayuran, ayam, telur dan daging mencukupi sempena Hari Raya Aidiladha pada Khamis ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN