PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menyiasat dakwaan seorang menteri membuat kecoh di balai ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi semua aspek yang berkaitan.
“Merujuk kepada laporan berita yang diterbitkan oleh sebuah portal berita atas talian bertajuk ‘EKSKLUSIF: Menteri buat kecoh di KLIA tuntut pelawat China ditahan imigresen dibebaskan’ yang kemudiannya berita tersebut telah dipetik oleh beberapa agensi media yang lain.
“Jabatan ini telah mengambil tindakan serta-merta memulakan siasatan ke atas dakwaan kejadian yang dilaporkan dalam berita tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, menurut beliau, pihaknya memohon supaya orang ramai memberikan ruang agar siasatan dapat dijalankan dengan telus.
“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal tempatan melaporkan seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa KLIA bagi mendesak Jabatan Imigresen membebaskan seorang pelawat dari China sehingga tular dalam media sosial.
Ia didakwa berlaku petang semalam apabila menteri berkenaan dikatakan masuk ke kawasan ketibaan itu tanpa memohon pas.
Difahamkan, ia bertujuan ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dikatakan dinafikan daripada memasuki negara ini setelah tiba semalam.
Apabila mendapat tahu mengenai tahanan itu menteri berkenaan didakwa ke KLIA dan memasuki ke dalam dewan ketibaan tanpa memohon pas keselamatan.
Apabila dihalang, dia dikatakan menggunakan kuasa menterinya termasuk memarahi Polis Bantuan KLIA dan pegawai imigresen kerana mahu menyelamatkan wanita warga China berkenaan, dakwa portal terbabit. – UTUSAN