PETALING JAYA: Pemilik-pemilik tanah di tapak penempatan haram serta kebun-kebun sayur dan ladang ternakan dekat Kampung Pulau Meranti yang seluas kira-kira 23 hektar akan digempur berikutan membenarkan hartanah milik mereka didiami warga asing.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Ruslin Jusoh berkata, jabatannya akan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengenalpasti pemilik-pemilik tanah dalam radius 2.5 kilometer (km) itu yang boleh dikenakan tindakan.
“Kita akan membuat semakan dengan PBT. Sesiapa pemilik tanah yang membenarkan boleh dikenakan tindakan. Kita akan buat semakan siapa sebenarnya pemilik tanah ini dan membuat engagement dengan agensi-agensi kerajaan.
“Tetapi kita dapati mereka ini (warga asing) bekerja di kebun ini, mereka buat secara plot demi plot. Setiap plot ada orang tertentu yang uruskan. Berbeza-beza, tetapi pembekal akan berkumpul di sini dan (hasil pertanian) diedarkan ke luar,” katanya kepada pemberita pada Operasi Penguatkuasaan Imigresen, di Pulau Meranti, awal pagi tadi.
Beliau menambah, pemilik-pemilik tanah atau premis yang membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk dan tinggal di dalam hartanah milik mereka boleh dikenakan tindakan selaras Seksyen 55E Akta Imigresen 1959.
Terdahulu beliau bersama pasukan dari ibu pejabat Imigresen Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan menyerbu kawasan penempatan haram di lokasi berkenaan kira-kira pukul 2 pagi.
Dalam serbuan tersebut, seramai 22 orang warga asing terdiri daripada 17 warga Indonesia dan lima Bangladesh berusia dalam lingkungan 30 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi tersebut yang berlangsung selama kira-kira sejam.
Dalam operasi itu, Imigresen yang dibantu pasukan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan pemeriksaan lebih 30 buah rumah di penempatan haram tersebut.
Jelas Ruslin, kesemua tahanan dibawa ke Ibu pejabat Imigresen Selangor bagi saringan dokumen dan siasatan termasuk memanggil majikan berkaitan susulan sebahagian tahanan mendakwa pasport dan permit disimpan oleh mereka.
“Pemeriksaan mendapati sebahagian mereka melakukan kesalahan seperti tiada dokumen perjalanan yang sah (pasport), tinggal lebih masa dan juga gagal menunjukkan permit kerja untuk tinggal di sini.
“Justeru tangkapan dibuat di bawah Seksyen 6 dan 15 akta sama kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan di negara ini,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Pulau Meranti di Puchong didakwa menjadi lokasi tumpuan PATI membina penempatan haram dan berkebun selepas lokasi sebelum ini di sekitar Cyberjaya diserbu pihak berkuasa.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sebanyak 3,617 operasi dilakukan di seluruh negara sejak Januari hingga 6 Jun lalu dan seramai 40,459 diperiksa, daripada jumlah tersebut juga seramai 24,240 PATI ditangkap.
“ Ada juga majikan yang ditangkap kerana menggajikan secara tidak sah seramai 140 orang. Pengusiran pula, seramai 19,059 sudah dihantar pulang ke negara mereka daripada 1 Januari hingga 5 Mei lalu.
“Operasi itu melibatkan semua jenis premis antaranya penempatan haram di kawasan kampung,kedai dan bandar. Pusat-pusat hiburan yang menyediakan khidmat-khidmat tukang urut dan sebagainya juga kita periksa,” jelasnya. – UTUSAN