Imam Al-Aqsa rasmi Kongres Palestin Sedunia

Imam Al-Aqsa rasmi Kongres Palestin Sedunia

MOHD. Na'im Mokhtar pada sidang akhbar ketika kunjungan hormat Sheikh Ekrima Sabri di Kompleks Islam Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan komuniti sejagat apabila Kongres Palestin Sedunia (WPC) dianjurkan di sini esok yang akan dirasmikan Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Syeikh Dr. Ekrima Said Sabri.

Ulama tersohor Baitulmaqdis itu yang juga ialah bekas Mufti Palestin dijangka tampil selepas ucaptama Pengerusi Barisan Bertindak Keadilan Palestin (JPAF), Profesor Emeritus Datuk Abang Abdullah Abang Ali dan akan menyampaikan ucapan pada kongres berkenaan.

WPC dianjurkan JPAF dibentuk pelbagai pertubuhan bukan kerajaan di negara ini pada 18 Julai 2021 hasil inisiatif Yayasan Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia (MyREF).

Ketua Pegawai Eksekutif MyREF, Mohd. Khairuddin Rais berkata, mereka yang berada di luar negara turut berpeluang menyaksikan WPC menerusi wadah dalam talian yang memberi peluang peserta mendengar sendiri banyak kisah menarik mengenai perkembangan terbaharu Al-Aqsa yang tidak dilaporkan media.

“Ramai tokoh terkenal turut akan berucap antaranya bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar dan bekas Presiden Universiti Islam Gaza, Prof. Dr. Kamalain Shaat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Semalam, Ekrima yang juga tetamu khas MyREF melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar iaitu penampilan kali kelima ke Malaysia dengan kali pertama pada 2003 dan kemudian pada 2017 sebelum melawat lagi setahun selepas itu.

Mohd, Khairuddin berkata, WPC bermatlamat mahu menggerakkan kesedaran global ke arah misi kemerdekaan Palestin sekali gus bakal melancarkan Majlis Perundingan Antarabangsa untuk Palestin (ICCP) sebagai acara kemuncak persidangan berkenaan.

Keanggotaan organisasi tersebut dijangka buat permulaannya membabitkan pelbagai pemimpin politik dari Palestin di samping Malaysia sendiri serta Indonesia dan juga Pakistan.

Usaha jangka panjang berkenaan malah akan dihuraikan lanjut oleh salah seorang panel WPC iaitu Prof. Dr. Mohd. Afandi Saleh mewakili Sekretariat Liga Ahli Parlimen Al-Quds.

Badan tersebut ketika ini sudah mempunyai keanggotaan lebih 700 ahli Parlimen daripada 70 negara termasuk Malaysia yang menyokong teguh hak Palestin untuk bebas berdaulat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN