Husaini Omar dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM

Husaini Omar dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM

HUSAINI OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melantik bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Husaini Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah universiti itu berkuat kuasa semalam.

UTeM dalam kenyataannya berkata, pelantikan untuk tempoh tiga tahun itu telah dipersetujui Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaras peruntukan 17(1)(a) Perlembagaan Universiti. 

“UTeM merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan tersebut dan percaya dengan kepemimpinan, ketokohan, kepakaran serta pengalaman luas yang beliau miliki mampu menerajui dan memimpin UTeM ke persada gemilang sebagai institusi pengajian tinggi teknikal yang terus cemerlang di pentas dunia.

“Pada masa sama, UTeM turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Dr. Hasim Hasan atas jasa dan sumbangan yang diberikan kepada universiti ini sepanjang perkhidmatan beliau sehingga 18 Mei lalu,” katanya di sini, hari ini.

Husaini, 60, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Geologi) dari Universiti Malaya (UM), Ijazah Sarjana Kejuruteraan Geologi dari University of Leeds, United Kingdom dan Doktor Falsafah Kejuruteraan (Kejuruteraan Sistem) dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau mempunyai pengalaman dalam industri selama lapan tahun sebagai jurutera geologi sebelum memulakan karier sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan UPM pada 1996.

Beliau kemudiannya meniti kejayaan akademik dan pentadbiran sehingga dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPM pada 15 Februari 2017 sebelum menjawat jawatan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 1 Januari 2018 sehingga 6 Januari 2019. 

Selain itu, Husaini pernah menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dari 1 Jun 2020 sehingga 31 Januari 2021 sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bermula 1 Februari 2021 sehingga 9 Mac lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya