Homestay di Perlis akan didaftarkan bawah MPK - Utusan Malaysia

Homestay di Perlis akan didaftarkan bawah MPK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri sedang dalam proses bagi melakukan pemutihan ke atas pengusaha-pengusaha inap desa atau homestay yang beroperasi di negeri ini bagi memastikan mereka berdaftar di bawah Majlis Perbandaran Kangar (MPK).

Usaha bagi mewujudkan komuniti baharu membabitkan pengusaha homestay yang berdaftar di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu adalah bertujuan memastikan operasi pihak terlibat dapat berjalan secara sah.

Buat masa ini, ramai di antara pengusaha homestay di negeri ini tidak mendaftar dengan mana-mana pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan ini sekali gus menyukarkan mereka memohon sebarang bantuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, semua pengusaha homestay yang bakal berdaftar di bawah MPK akan tertakluk di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) selepas proses pemutihan tersebut selesai dilaksanakan.

“Buat masa ini, kita masih sedang mengumpul bilangan keseluruhan homestay yang beroperasi di Perlis dan jumlahnya itu mungkin mencecah ratusan kerana boleh dikatakan setiap kampung dalam negeri ini menyediakan kemudahan tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Badariah berkata, proses pemutihan bagi mengenalpasti pengusaha-pengusaha homestay di negeri ini dijangka akan selesai sepenuhnya sekitar bulan Jun tahun hadapan.

Ujarnya, perbincangan secara menyeluruh juga perlu dilaksanakan bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Tanah dan Galian (JTG) negeri membabitkan isu status tanah yang diubah suai.

“Kita perlu mengadakan perbincangan secara menyeluruh bersama agensi dan pihak berkaitan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan inisiatif ini,” katanya.

Tambah Wan Badariah, kerajaan negeri menerusi MPK juga akan berusaha mempermudahkan urusan permohonan bagi setiap pengusaha homestay melakukan pendaftaran perusahaan mereka itu.

“Buat masa ini proses pemutihan berjalan lancar dan kita harapkan ia dapat diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan pengusaha ini sekurang-kurangnya berdaftar di bawah MPK untuk melancarkan operasi mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya