KUALA NERUS: Kesusahan hidup setelah kematian bapa bukan halangan untuk Aleeya Maisara Mamat, 18, meraih keputusan cemerlang 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti diumumkan Khamis lalu.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, Setiu dekat sini itu berkata, bapanya, Mamat Ismail meninggal dunia pada usia 62 tahun, Disember 2020.
Katanya, sejak kehilangan tonggak utama keluarga, dia dan ibunya, Siti Ramlah Abdullah, 60, bergantung kepada adik-beradik yang lebih berusia untuk menampung perbelanjaan bulanan.
“Ibu tidak boleh bekerja kerana menjaga nenek yang terlantar sakit di rumah. Alhamdulillah, sumbangan adik-beradik yang lain mencukupi untuk kami dua beranak.
“Saya bersyukur kerana kesusahan hidup mendapat perhatian pihak sekolah dan ada dermawan yang sudi membayar pelbagai yuran ketika saya berada dalam Tingkatan Lima.
“Tipulah kalau kata saya tak pernah putus semangat apatah lagi perlu belajar secara dalam talian ketika negara dilanda pandemik Covid-19, namun saya kuatkan semangat kerana sedar hanya pelajaran mampu ubah nasib pada masa depan,” katanya semalam.
Aleeya Maisara yang bercita-cita mahu menjadi seorang akauntan berkata, komitmen tinggi yang diberi guru sekolah dan ulangkaji bersama rakan-rakan di asrama banyak membantunya dalam pelajaran.
“Memang kesusahan yang dialami menjadi motivasi saya untuk belajar dengan baik kerana tidak mahu selamanya berada dalam kepompong kemiskinan.
“Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu kami sekeluarga selama ini dan berniat apabila berjaya kelak, saya pula akan bantu anak yatim yang lain,” katanya. – UTUSAN