PETALING JAYA: Enam persatuan pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi tampil menyeru supaya program tajaan biasiswa diteruskan kerana tindakan pemberhentian bukanlah penyelesaian kepada lambakan graduan dalam bidang-bidang tersebut ketika ini.
Perkara itu disuarakan Pertubuhan Malaysian Medics International (MMI) yang terdiri daripada Persatuan Pelajar Farmasi Malaysia (MyPSA); Persatuan Pelajar Pergigian Malaysia (MDSA); Persatuan Pelajar Perubatan Asia Malaysia (AMSA); Persatuan Perubatan Universiti Malaya; Persatuan Perubatan Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) dan Persatuan Pelajar Perubatan Universiti Newcastle Malaysia.
Mereka menyifatkan, tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghentikan penajaan kepada pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi hanya mengambil kira dari sudut unjuran lebihan pegawai perubatan dalam tempoh 2026 hingga 2030 dan bukan menjurus kepada keperluan semasa sektor kesihatan ketika ini.
Katanya, tindakan tersebut akan melemahkan lagi sistem penjagaan kesihatan negara, yang telah mengalami perubatan ketara sejak pandemik Covid-19.
“Keputusan awal JPA gagal mengambil kira pengurangan pegawai perubatan di seluruh negara di hospital utama, daerah serta klinik kesihatan awam dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“MMI menyeru Kementerian Kesihatan untuk menjalankan semakan menyeluruh dan komprehensif ke atas keperluan sedia ada dari segi sumber manusia untuk sektor kesihatan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan meneruskan tajaan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di bawah JPA berdasarkan situasi semasa yang mana masih terdapat keperluan bagi sektor-sektor terbabit dalam negara.
Perdana Menteri berkata, beliau meminta supaya keputusan lalu dikaji semula berdasarkan unjuran yang mana keperluan pegawai dalam sektor perubatan, pergigian dan farmasi masih lagi di peringkat kritikal.
Pada masa sama, MMI juga menyeru JPA mempertimbangkan penyelesaian pampasan bagi keputusan awal menghentikan biasiswa untuk program berkaitan perubatan yang berpotensi menghalang pemohon yang berminat.
“Walaupun keputusan itu (henti tajaan) ditarik balik, tiada tanda-tanda pemohon yang berminat dibenarkan untuk memohon biasiswa JPA bagi program berkaitan perubatan, kerana tarikh akhir permohonan kekal pada 2 April 2023.
“Mendapatkan biasiswa untuk mengikuti program berkaitan perubatan akan menjadi satu-satunya cara pembiayaan seseorang kerana kekangan kewangan peribadi.
“Oleh itu, kami memohon pihak berkuasa yang berkaitan mempertimbangkan semula pendirian mereka dan membolehkan individu yang layak memohon semula biasiswa atau mewujudkan portal alternatif yang boleh mereka mohon untuk mendapatkan biasiswa yang berkaitan,” katanya.
Kelmarin, JPA membuat keputusan mengejut apabila menghentikan tajaan kepada pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan permintaan terhadap tenaga kerja di bidang-bidang tersebut sudah mencukupi.
Keputusan itu dibuat berdasarkan Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 yang mencatatkan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara dengan populasi penduduk sehingga Disember 2021 ialah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 mampu dicapai pada 2025.
Ia menjadikan jumlah pegawai perubatan tahun 2021 adalah 72,812 melebihi permintaan iaitu berjumlah 70,721 dengan pegawai pergigian dan farmasi juga akan memenuhi keperluan permintaan masing-masing pada 2025 dan 2029, bagaimanapun pelajar dalam tanggungan JPA tetap akan ditaja sehingga 2027.
Seramai 1,774 pelajar perubatan tajaan JPA dijangka menerima ijazah masing-masing tahun ini, diikuti oleh 69 pelajar pergigian serta 296 pelajar farmasi manakala seramai 2,029 pelajar perubatan, 68 pelajar pergigian dan 184 pelajar farmasi yang lain akan menerima ijazah mulai 2024 hingga 2027. – UTUSAN