KUALA NERUS: Malaysia berada dalam kelas tersendiri selepas membelasah Papua New Guinea 10-0 dalam aksi antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin,Gong Badak, di sini, malam ini.
Kemenangan sempurna Harimau Malaya itu dibantu empat jaringan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M), Arif Aiman Hanapi serta hatrik Paulo Josue pada babak kedua.
Separuh masa pertama bagaimanapun menyaksikan Malaysia hanya mendahului 1-0 menerusi sepakan penalti Safawi Rasid minit ke-45, gara-gara kekasaran Solomon Rani ke atas Akhyar Rashid.
Harimau Malaya mula meratah Papua New Guinea tujuh minit bersambung babak kedua hasil jaringan Josue berpunca gerakan Daniel Ting dari sebelah kiri.
Bermula hantaran jauh Dominic Tan dari bawah, Arif Aiman (m-57) bijak melepasi perangkap ofsaid untuk tenang menyumbat gol ketiga disusuli jaringan Faisal Abdul Halim minit ke-59.
Gandingan dua pemain itu memberikan gol kelima apabila Arif Aiman (m-60) mudah mendada masuk bola ke dalam pintu gol hasil hantaran Faisal dari sebelah kiri.
Penyerang ‘bidan terjun’, Josue kemudian mencetak gol kedua peribadi dan melengkapkan hatrik minit ke-64 serta minit ke-70 selepas menyudahkan umpanan Arif Aiman.
Malam sempurna Harimau Malaya diteruskan Daniel pada minit ke-76 yang menjadikan kedudukan 8-0 sebelum Arif Aiman turut mencetak hatrik pada minit ke-87.
Papua New Guinea bagaikan tiada jawapan terhadap kerakusan Harimau Malaya yang melengkapkan kemenangan 10-0 menerusi jaringan Arif Aiman pada minit ke-89.
Tambahan masa diberikan pengadil Indonesia, Yudi Nurcahaya sekadar melengkapkan perlawanan menyaksikan hampir 10,000 ‘ekor’ Harimau Malaya berpesta sebaik wisel penamat ditiup. – UTUSAN